Eropah

Arsene Wenger bakal letakkan jawatan di penghujung musim

Selepas kehilangan Sir Alex Ferguson lima tahun yang lalu, hari ini bolasepak Inggeris sekali lagi kehilangan satu figura besar yang telah mengubah lanskap bolasepak Inggeris.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger sah akan meletakkan jawatannya pada hujung musim ini selepas 22 tahun bersama Arsenal dan memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan tujuh Piala FA.

Pencapaian terhebat Wenger bersama Arsenal sudah tentu kejuaran liga pada tahun 2003-04 di mana Arsenal di bawah kendalian Wenger melalui satu musim tanpa kalah.

Arsenal menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi Arsenal mengucapkan selamat tinggal.

“Selepas membuat pertimbangan dan perbincangan bersama kelab, saya rasa ini masa paling sesuai untuk meletakkan jawatan di penghujung musim.

“Saya merasa bangga kerana mendapat peluang bersama kelab ini tempoh yang lama.

“Saya telah memberikan komitmen sepenuh jiwa dan integriti sepanjang menguruskan kelab ini.

“Saya mahu memberi penghargaan kepada semua staff, pemain, lembaga pengarah dan penyokong yang membuatkan kelab ini istimewa.

“Saya memohon agar semua penyokong berdiri di belakang pasukan untuk kita tamatkan musim ini dengan baik.

“Kepada semua peminat Arsenal, jagalah nilai kelab ini sebaik-baiknya.

“Cinta dan sokongan saya adalah untuk selamanya.”