Luar Negara Eropah

Monaco pulangkan duit tiket kepada penyokong selepas tewas besar menentang PSG

Juara Ligue 1 musim lalu, AS Monaco, terpaksa menyerahkan takhta itu kepada Paris Saint-Germain (PSG). Lebih perit, mereka memberikan status itu dalam situasi yang memalukan apabila tujuh gol membolosi gawang yang dikawal Danijel Subasic ketika pertemua kedua-dua pasukan di Parc Des Princes.

Dua gol daripada Giovani Lo Celso dan Angel Di Maria, satu jairngan masing-masing daripada Edinson Cavani dan Julian Draxler, serta jaringan sendiri oleh Radamel Falcao telah membenam cabaran pasukan kendalian Leonardo Jardim. Monaco hanya menyumbat gol saguhati menerusi Rony Lopes.

Kemenangan 7-1 itu membolehkan PSG mengesahkan gelaran Ligue 1 ketujuh buat mereka, melengkapkan kejayaan Piala Liga Perancis yang dimenangi sebelum ini dan mungkin akan menambah dengan Piala Perancis. Sementara Monaco berada di tangga kedua dengan ketinggalan 17 mata berbanding PSG dan berkelebihan empat mata berbanding pasukan tangga ketiga, Olympique Lyon.

PSG mencatatkan tujuh gol tanpa kehadiran dua pemain termahal mereka. Neymar masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan sementara Kylian Mbappe sekadar memanaskan bangku simpanan, menyaksikan bekas majikannya dibelasah.

Kekalahan itu jelas mengecewakan penyokong-penyokong Monaco, lebih-lebih lagi mereka yang menonton di Paris. Untuk mengubati dan cuba menjaga perasaan serta menghargai sokonga itu, Monaco telah membuat keputusan untuk memulangkan kembali wang tiket kepada setiap penyokong yang hadir ke Parc Des Princes.

Melalui akaun Twitter rasmi, mereka membuat kenyataan itu dan maklumat tambahan akan menyusul pada minggu ini. Semoga permohonan maaf Monaco ini dapat menyembuhkan sedikit kelukaan hati penyokong-penyokong mereka.