Malaysia Liga Super Malaysia

6 gol dalam 6 perlawanan: Kipre Tchetche mahu jadi penjaring terbanyak Liga Super

Meskipun baru sahaja menempuhi enam perlawanan dalam saingan Liga Super, penyerang Terengganu, Kipre Tchetche berazam untuk meraih anugerah Kasut Emas musim ini selain memburu kejuaraan selepas menjadi penjaring terbanyak liga dengan jaringan enam gol setakat ini.

Pemain yang berasal dari Ivory Coast itu menyuarakan keyakinan tersebut setelah menjaringkan dua gol ketika menewaskan Melaka United 3-0 pada minggu yang lalu.

“Perjalanan untuk menggapai kedua-dua impian itu bagaimanapun masih jauh kerana liga baharu memasuki enam perlawanan, namun selepas menjaringkan dua gol ketika bertemu Melaka, saya semakin bersemangat untuk menunjukkan aksi lebih baik dalam setiap perlawanan.

“Selain itu, kami sepasukan juga perlu bekerja lebih keras lagi untuk mendapatkan lebih banyak mata dalam saingan liga kerana cabaran daripada pasukan lain juga sengit,” katanya kepada Berita Harian.

Tchetche menyertai Terengganu pada jendela perpindahan kedua tahun lalu bagi menggantikan penyerang Argentina, Federico Falcone ketika bersaing dalam Liga Perdana.

Perpindahan tersebut memberi kesan yang cukup memberangsangkan apabila Tchetche berjaya menjaringkan 13 gol dalam 13 penampilan selain dinobatkan penyerang terbaik bulanan bagi bulan September tahun lalu.

Beliau bagaimanapun akan melakukan pemeriksaan lanjut terhadap kecederaan otot yang dialaminya dalam perlawanan sebelum ini sehingga terpaksa dikeluarkan pada penghujung separuh masa kedua.

“Saya gembira kerana dapat membantu pasukan mencatat kemenangan 3-0 tapi pada masa sama sedih kerana cedera,” katanya.