Ketika peminat berasa teruja untuk menyaksikan Wan Kuzain Wan Kamal beraksi dalam kancah Major League Soccer (MLS) bersama Sporting Kansas City (Sporting KC), bapanya Prof. Dr. Wan Kamal Napi bagaimanapun tidak mahu anaknya cepat berpuas hati dan berasa selesa dengan apa yang dimilikinya ketika ini.
Katanya, Wan Kuzain perlu bekerja dengan lebih kuat jika mahu mengembangkan sayapnya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Sebagai seorang pemain berusia 19 tahun yang menyertai pasukan utama dalam MLS, Kuzain telah melakukan yang terbaik namun perlu terus bekerja keras kerana saya yakin dia mampu pergi lebih jauh.
“Setakat ini, boleh dikatakan impiannya untuk beraksi di MLS berjaya menjadi kenyataan namun sebagai pemain profesional, masih banyak lagi yang perlu dipelajari dalam persaingan merebut kesebelasan utama sebelum menjadi pemain terbaik dunia.
“Siapa tahu mungkin Sporting KC akan membuka laluan untuk dirinya mengembangkan sayap ke Liga Perdana Inggeris satu hari nanti,” katanya kepada Berita Harian.
Pemain kelahiran Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat yang berdarah Malaysia itu berpeluang untuk beraksi dalam saingan MLS selepas sah menyertai pasukan Sporting KC yang bersaing dalam Western Conference MLS.
Wan Kuzain menandatangani kontrak bersama Sporting KC yang juga bekas pemain akademi pasukan berkenaan sehingga 2020 dengan pilihan untuk melanjutkan kontraknya pada 2021 dan 2022.
Apabila disoal apakah yang menjadi punca kepada peningkatan luar biasa yang ditunjukkan anaknya, Wan Kamal menganggap tiada rahsia mengenai kemajuan anaknya itu kerana semuanya adalah atas usaha yang dilakukan selama ini.
“Sesiapa pun boleh berjaya tanpa mengira bangsa atau dari negara mana dia dilahirkan. Apa yang penting adalah sanggup bekerja keras tanpa mengeluh ataupun memberikan alasan.
“Sejak dari kecil lagi, Kuzain sudah diajar supaya bekerja keras dalam semua perkara yang dilakukannya. Selain itu, sentiasa jujur dan jangan sombong kerana semuanya milik Allah. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukannya,” katanya.