Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menyifatkan aksi menentang Perak pada aksi Liga Super di Stadium Batu Kawan, malam ini dilihat sebagai satu pertembungan menarik bagi kedua-dua pasukan.
Katanya, keupayaan dua buah pasukan dari negeri yang sama menunjukkan Perak merupakan salah satu kuasa besar dalam bola sepak Malaysia malah mempunyai ramai pemain yang berbakat.
“Selama dua musim akhirnya penyokong kedua-dua pasukan dapat menyaksikan aksi PKNP FC berdepan dengan Perak, The Bos Gaurus.
“Bagi saya bukan soal pasukan mana yang menang atau kalah, kedua-dua pasukan dari negeri Perak sebenarnya telah membuktikan kewibawaan dengan beraksi dalam saingan di peringkat tertinggi bola sepak negara.
“Ini jelas membuktikan kedua-dua pasukan memiliki ramai pemain muda berbakat dan beraksi di tahap profesional,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Abu Bakar, kebanyakan pemain-pemain PKNP FC baharu pertama kali beraksi dalam saingan Liga Super jadi sudah pasti mereka mahu memberikan aksi yang terbaik lagi-lagi apabila berhadapan dengan pasukan Perak.
“Saya sendiri pernah berkhidmat sebagai pemain dan juga jurulatih Perak jadi saya jangkakan pemain kedua-dua pasukan akan memberikan aksi terbaik.
“Apa yang penting bukan kalah atau menang, kita mahu mendidik semangat cintakan negeri Perak dan juga kelab PKNP FC yang mewakili Perak.
“Lawan atau saingan sebenar kita adalah pasukan-pasukan luar dari Perak,” katanya.