Santai Malaysia

Komen dari Nusantara: Ini pandangan penulis bolasepak Indonesia tentang Johor Darul Ta’zim

Dari Larkin ke Jakarta

Malam esok, skuad Johor Darul Ta’zim akan berdepan dengan cabaran getir apabila mereka turun menentang Persija Jakarta di Stadium Gelora Bung Karno. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada bulan Februari lepas, Johor DT berjaya meraih kemenangan 3-0 di Johor Bharu. Namun, Persija merehatkan beberapa pemain penting, termasuk Marko Simic, pada waktu itu, atas sebab final Piala Presiden yang dijadualkan berlangsung beberapa hari kemudian.

Namun malam esok, skuad Persija yang menduduki tempat keempat dalam senarai 10 kelab terbaik di Asia Tenggara untuk bulan Mac, akan menurunkan barisan pemain yang terkuat, termasuk pemain ke-12 mereka, The Jakmania. Perlawanan ini sedang mencuri tumpuan ramai di Indonesia, kerana ia melibatkan Johor DT, pasukan Malaysia yang sering disebut-sebut oleh penyokong bolasepak Indonesia.

Baru-baru ini, rakan-rakan kami di Football Tribe Indonesia ada menulis sebuah artikel tentang aspek-aspek yang menjadikan JDT sebuah kelab yang profesional, manakala satu lagi artikel tentang senarai pemain-pemain bintang yang pernah menyarungi jersi Johor DT turut dimuat naik di Football Tribe Indonesia pada bulan Februari lepas.

Jadi, menjelang perlawanan besar di Jakarta malam esok, enam penulis dari Football Tribe Indonesia telah berkongsi  pendapat mereka tentang Johor DT dan dominasi kelab itu di peringkat domestik dan juga Asia Tenggara.

"Meskipun diberi gelaran 'Super Club' atau pun 'Galacticos', Johor DT turut meniktikberatkan kemasukan pemain-pemain muda. Ini terbukti dengan kehadiran nama-nama seperti Adam Nor Azlin, Afiq Fazail, Syafiq Ahmad dan juga Safawi Rashid. Ini suatu perkara yang positif."

Aun Rahman
(Football Tribe Indonesia)

 

"Johor DT adalah sebuah pasukan yang cukup berpengaruh di Liga Super Malaysia, dan mereka juga susah untuk ditewaskan. Cuba lihat rekod mereka di pentas Liga Super semenjak beberapa tahun lepas, kehebatan mereka menjadikan Liga Super Malaysia semirip dengan Ligue 1 di Perancis, di mana Paris Saint Germain mempunyai dominasi yang besar."

Budi Windekind
(Football Tribe Indonesia)

"JDT adalah salah sebuah contoh terbaik kelab yang dijalankan secara profesional, terutamanya di Asia Tenggara. Kejayaan mereka memenangi Piala AFC pada tahun 2015 adalah pencapaian terbaik mereka setakat ini. Perkara ini wajar dicontohi oleh kelab-kelab lain di rantau ini."

Aditya Jaya Iswara
(Football Tribe Indonesia)

"JDT mengingatkan saya kepada Bayern Munich di Germany, kerana mereka juga sebuah pasukan yang kaya dari segi kewangan, tetapi turut mendominasi pentas Bundesliga setiap tahun. Walaupun musim Liga Super 2018 baru sahaja bermula, saya rasa JDT mempunyai skuad yang mantap untuk terus menjadi juara tahun ini."

Budy Darmawan
(Football Tribe Indonesia)

"JDT merupakan contoh terbaik untuk kelab-kelab di Indonesia dari sudut perspektif pengurusan yang cukup profesional. Kelab-kelab Indonesia ramai yang kaya, namun mereka tidak diuruskan dengan profesional. Ada yang setuju dengan corak kepimpinan TMJ, ada yang tidak setuju. Namun, saya rasa usahanya bersama JDT mampu mencipta blueprint yang bagus untuk pembangunan bolasepak Malaysia secara keseluruhan."

Isidorus Rio
(Football Tribe Indonesia)

"Johor DT adalah sebuah pasukan yang cukup profesional dan hakikatnya adalah, perkara tersebut memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu mereka kekal dominan di Malaysia. Dan walaupun bola itu bulat, susah untuk saya melihat mana-mana pasukan lain mencabar penguasaan mereka di Liga Super Malaysia untuk beberapa tahun akan datang."

Ganesha Arif Lesmana
(Football Tribe Indonesia)