Masih ingat dengan Nguyen Quang Hai? Pemain tengah skuad kebangsaan Viernam yang hampir menjuarai Piala Asia B-23 itu baru-baru ini telah didaftarkan dalam senarai 500 pemain paling berpengaruh di dunia. Senarai yang dikeluarkan oleh majalah World Soccer itu meletakkan Wuang Hai sebagai satu-satunya nama dari Vietnam.
Pemain muda yang akan memasuki usia 21 tahun pada 12 April 2018 ini adalah salah satu kunci utama Vietnam di saingan Piala Asia B-23. Dia menunjukkan aksi memukau dalam kejohanan itu dengan menjaringkan lima gol, termasuk muncul selaku penjaring kedua terbanyak di belakang Almoez Ali dari Qatar yang menyumbat enam jaringan.
Pemain terkenal lain yang turut berada dalam senarai itu adalah Lionel Messi, Neymar, Luis Suarez, Gareth Bale, Harry Kane dan Mohamed Salah. Pemain dari pasukan Asia Tenggara yang lain juga ada yang disenaraikan, iaitu pemain Thailand, Teerasil Dangda, serta bintang berdarah Filipina, Stephan Schrock.
Berbeza dengan Teerasil yang sudah lali dengan rencah bola sepak Eropah dan Jepun serta membawa Thailand beberapa kali mengungguli saingan Piala AFF, karier Quang Hai baru sahaja bermula. Jika Indonesia mempunyai Evan Dimas dan Egy Maulana Vikri pada usia yang sangat muda, Vietnam mempunyai Quang Hai.
Bakat pemain kelahiran Hanoi ini sudah dihidu sejak berusia 16 tahun. Bahkan, dia sudah merasai nikmat kejuaraan bersama Saigon FC di liga kedua pada musim 2015. Bagaimanapun, dia beraksi di pentas liga utama pada 2016, selepas mewakili Hanoi T&T atau lebih dikenali dengan nama Hanoi FC, salah sebuah kelab terbesar di negara itu.
Majalah World Soccer sendiri menyenaraikan penyertaan yang menunjukkan nama-nama dari Brazil, jerman, Perancis, Sepanyol, Argentina dan Itali mendominasi senarai pemain berpengaruh di dunia itu. Keenam-enam negara itu diwakili 20 pemain dalam senarai itu.
World Soccer juga mengumumkan lima kriteria yang diperlukan untuk memilih pemain menyertai senarai itu, termasuk penampilan hebat dalam saingan liga domestik bagi musim 2017/18, bintang muda yang menerima sambutan hangat pada tahun lalu, pemain-pemain yang menjadi nadi utama pasukan kebangsaan utnuk saingan Piala Dunia 2018 di Russia, pemain yang mencetus sensasi ketika jendela perpindahan musim panas serta kelompok pemain yang mendapat perhatian di luar padang.
Quang Hai sendiri mungkin boleh dimasukkan lebih daripada satu kategori di atas. Dia tampil memukau ketika Piala Asia B-23 pada tahun ini, walaupun posisinya bukan penyerang tulen, namun jaringan demi jaringan yang dihasilkan telah membuatkan jutaan rakyat Vietnam berbangga.