Berita Asia

Persipura Jayapura ambil langkah banteras penjual jersi tiruan

Selain daripada aksi di atas padang dan pemain-pemain bintang, jersi juga memainkan peranan untuk menarik penyokong. Jersi dengan rekaan yang cantik dan bergaya boleh membantu menarik minat penonton sekaligus menjana pendapatan kelab.

Namun, apa yang boleh mengganggu kelab daripada meningkatkan pendapatan adalah jersi yang tidak original atau jersi tiruan. Mungkin bagi kelab-kelab gergasi yang tidak terlalu bergantung kepada jualan jersi, ianya tidak terlalu dipandang berat. Tetapi bagi kelab-kelab kecil yang mungkin jualan jersi mampu membantu meningkatkan pendapatan mereka, itu boleh menjadi masalah.

Salah satu langkah yang boleh diambil adalah membuat kerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani masalah penjual jersi tiruan ini. Seperti kelab Liga Indonesia, Persipura Jayapura. Mereka telah membuat keputusan untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menangani masalah ini.

Sebelum ini Persipura tidak menganggap perkara ini serius, tetapi kini mereka sudah tidak mahu memberi kelonggaran kepada pihak-pihak yang mengaut keuntungan dengan menjual jersi imitasi.

Pada hari Isnin minggu lalu, pihak pengurusan Persipura telah melaporkan dua penjual jersi tiruan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

“Tiada lagi toleransi kepada semua pihak yang menjual jersi tanpa izin pengurusan Persipura. Apatah lagi yang membuat jersi tiruan dan menjualnya kepada umum,” kata Setiausaha Agung Persipura, Rocky Bebena pada hari Isnin seperti dilaporkan Jawapos.

Mungkin ada penyokong yang memandang enteng terhadap isu jersi ini, tetapi bagi kelab-kelab tempatan, tidak kira di Indonesia atau Malaysia, jualan jersi turut memainkan peranan untuk membantu kelab terus kekal bersaing. Setiap pembelian jersi palsu sebenarnya adalah tidak menghormati pasukan apatah lagi kepada pereka jersi yang sudah bersusah payah menghasilkan jersi untuk pasukan.

Setiap pembelian jersi tiruan hanya akan menguntungkan penjual yang telah mencuri hasil kerja orang lain. Jika anda benar-benar sayangkan pasukan anda, belilah yang original dan elakkan membeli jersi tiruan.