Luar Negara Eropah

Kebangkitan Luis Alberto bersama Lazio di pentas Serie A

Luis Alberto menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Benevento, Alberto Brignoli, dengan tenang untuk menutup pesta gol Lazio yang menang 6-2. Pemain berasal Sepanyol itu menunjukkan prestasi mantap bagi musim 2018/18 dengan menambah satu jaringan dua bantuan gol.

Alberto telah meraih lapan gol dan sebelas bantuan jaringan hasil daripada 29 penampilan di pentas Serie A musim ini, sekaligus menjadi musim terbaiknya beraksi di saingan tertinggi selepas diabaikan oleh Barcelona dan Liverpool sebelum ini. Dia menjadi watak utama ketika Biancoceleste merobek gawang Benevento dalam perlawanan ke-30 Serie A itu.

Pemain berusia 25 tahun kelahiran Cadiz ini adalah hasil pembangunan Sevilla. Dia memperkuatkan skuad Sevilla B dari 2009 hingga 2011, sebelum dinaikkan ke skuad utama tetapi akhirnya menerima tawaran pinjaman ke Barcelona pada 2012.

Bersama kelab Catalonia, khidmat Alberto digunakan untuk memperkuat jentera tengah pasukan kedua. Barcelona B ketika itu beraksi di Segunda Division iaitu peringkat kedua liga Sepanyol. Penampilan pemain berketinggian182 sentimeter ini sangat penting buat Barca B. Dia melakukan 38 penampilan, mencatat 11 gol dan meraih beberapa bantuan jaringan berbekalkan posisi sebagai playmaker pasukan.

Penampilan cemerlang itu telah menarik minat Liverpool, namun keinginan The Reds untuk menyaksikan kelibat pemain sehebat David Silva atau Xabi Alonso jelas meleset. Alberto dilihat gagal menyesuaikan diri dengan permainan pantas di England, sebelum akhirnya dipinjamkan selama dua musim ke Malaga dan Deportivo La Coruna.

Di kelab terakhir itu, pemain yang lahir pada 28 September 1992 itu beraksi cemerlang sehingga membawa pasukannya mengelak daripada tersingkir ke liga bawahan dan meraih enam gol. Tidak hairan prestasinya menarik perhatian Lazio untuk segera membawanya ke Itali dan akhirnya langkah itu berjaya pada Ogos 2016.

Di bawah kendalian Simone Inzaghi, kebangkitan Alberto dapat disaksikan. Walaupun berdepan kesukaran pada peringkat awal, kerja keras tetapi ditunjukkan kepada pengurusan pasukan. Dia hanya beraksi sebanyak 10 perlawanan pada musim 2016/17 dan hampir hilang keyakinan pada kemampuannya. Selepas melakukan perbincangan dengan ahli psikologi skuad kebangsaan Sepanyol, perlahan-lahan Alberto meraih prestasi terbaik.

Selepas Keita Balde Diao berhijrah ke Monaco, Alberto menjadi tonggak utama buat pasukan kendalian Inzaghi. Bersama Ciro Immobile, Sergej Milinkovic-Savic dan Stefan De Vrij, Alberto menjadi kunci utama Lazio di Serie A dan melayakkan diri ke suku akhir Liga Europa.

Penampilan hebat pemain Andalusia ini jelas menarik perhatian pengurus skuad kebangsaan Sepanyol, Julen Lopetegui, dan akhirnya meraih debut pertama bersama La Roja ketika menewaskan Costa Rica 5-0 pada November 2017. Ia bukti bahawa kerja keras dan kesabaran pastinya memberikan kejayaan.

Untuk menyaksikan perlawanan Serie A secara Live in HD, sila layari laman web rasmi SportsFix.TV