Berita Malaysia

Tribe Ratings: Akhyar pemain terbaik Malaysia, Fadhli Shas jadi titik kelemahan

Malaysia hanya mampu sekadar seri 2-2 menentang Mongolia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, biarpun menurunkan skuad yang dipenuhi pemain-pemain bintang seperti Natxo Insa, Safiq Rahim dan juga Safawi Rashid.

9 daripada 11 pemain dalam kesebelasan pertama Malaysia malam ini adalah pemain Johor Darul Ta’zim – hanya Matthew Davies dan Mahali Jasuli sahaja bermain untuk kelab lain. Namun, skuad Harimau Malaya gagal menunjukkan taring biarpun berdepan dengan sebuah pasukan yang dipenuhi dengan pemain semi-pro.

Berikut adalah Tribe Ratings yang diberikan oleh penulis kami kepada setiap pemain Malaysia yang beraksi malam ini:

Penjaga Gol: Haziq Nadzli (4/10)

Tiada apa yang dapat dilakukan oleh Haziq untuk mengelakkan gawangnya daripada dibolosi selepas Fadhli Shas membuat kesilapan. Tetapi Haziq dilihat sedikit leka untuk jaringan kedua Mongolia. Haziq dilihat kurang yakin di gawang.

Bek Kanan: Matthew Davies (4/10)

Banyak membantu bahagian serangan dengan larian 'overlapping'. Tetapi hantaran silangnya sedikit mengecewakan dan tenggelam di separuh masa kedua.

Pertahanan: Fadhli Shas (3/10)

Bermula dengan baik dan membantu menjadi punca kepada jaringan sendiri Mongolia. Namun, selepas itu kesilapannya membantu Mongolia menjaringkan gol penyamaan. Sebagai pemain senior, Fadhli dilihat tidak banyak memberikan arahan kepada rakan sepasukannya di bahagian pertahanan.

Pertahanan: Adam Nor Azlin (4/10)

Nampak sedikit gugup dan melakukan beberapa kesilapan ketika membuat hantaran. Tetapi bertahan dengan baik terutamanya ketika Mongolia membuat serangan balas. Bentesannya memberikan sepakan percuma yang digunakan oleh Gankhuyag Ser-od-yanjiv untuk menjaringkan gol kedua Mongolia.

Bek Kiri: Fazly Mazlan (4/10)

Fazly banyak mencuba untuk membantu bahagian serangan, tetapi selepas jaringan penyamaan Mongolia dia banyak melakukan kesilapan yang memberikan tekanan kepada barisan pertahanan Malaysia.

*Kredit Foto: Berita Harian

Tengah: Afiq Fazail (6/10)

Rajin dan sentiasa bergerak. Menjadi pengacau kepada setiap serangan Mongolia terutamanya di separuh masa pertama.

*Kredit Foto: Berita Harian

Tengah: Natxo Insa (5/10)

Bermain dengan baik pada separuh masa pertama apabila mengawal tempo permainan dan berani memegang bola. Kurang efektif di separuh masa kedua dan kurang memberi perlindungan kepada bahagian pertahanan.

Tengah: Safiq Rahim (5/10)

Mengecewakan. Bermain di belakang Hazwan Bakri tetapi tidak terlalu efektif dalam membantu bahagian serangan. Ditukarkan dengan Nazmi Faiz di separuh masa kedua.

Sayap Kanan: Mahali Jasuli (4/10)

Bermula dengan baik dengan beberapa gelecekan yang menarik. Namun, persembahannya menurun selepas itu dan digantikan dengan Akhyar Rashid di separuh masa kedua.

Sayap Kiri: Safawi Rasid (6/10)

Menunjukkan aksi menarik dan sering merisaukan bahagian pertahanan Mongolia. Hantarannya hasil sepakan penjuru membantu Malaysia membuka jaringan. Namun, di separuh masa kedua Safawi dilihat tenggelam dan ditukarkan dengan Wan Zack Haikal.

Penyerang: Hazwan Bakri (4/10)

Rajin tapi tidak mencukupi. Bermain sebagai penyerang tunggal, Hazwan mungkin kurang dari segi fizikal untuk menjadi tumpuan utama di bahagian serangan.

SIMPANAN

Akhyar Rashid (7/10)
Pemain terbaik Malaysia.Kalau separuh masa pertama Safawi yang menjadi tumpuan, separuh masa kedua giliran Akhyar. Masuk menggantikan Mahali Jasuli di separuh masa kedua, bintang muda Kedah ini mengucar ngacirkan pertahanan Mongolia dan hasil kerja kerasnya dia berjaya menjaringkan gol kedua buat Malaysia.

Nazmi Faiz (4/10)
Masuk menggantikan Safiq Rahim. Tidak banyak yang boleh dilakukan Nazmi dalam tempoh masa yang singkat untuk mencari gol kemenangan buat Malaysia.

Wan Zack Haikal (5/10)
Masuk menggantikan Safawi Rasid. Cuba untuk membantu bahagian serangan untuk mencari gol ketiga. Sepakan percumanya berjaya menggegarkan gawang Mongolia.

Syafiq Ahmad (--/10)
Masuk menggantikan Hazwan Bakri pada minit ke 80, tidak banyak yang boleh dilakukan Syafiq.

Ariff Farhan (--/10)
Masuk menggantikan Fazly Mazlan pada minit ke-86.