Penyokong-penyokong Liverpool dan Chelsea sudah pasti mengingati nama Raul Meireles. Pemain yang sudah berusia 35 tahun itu meninggalkan kesan yang cukup manis walaupun hanya tampil semusim untuk setiap pasukan di England itu.
Meireles dikenali di atas padang kerana kebolehannya beraksi secara bertahan atau menyerang di bahagian tengah. Bersama skuad kebangsaan Portugal, dia telah melakukan 73 penampilan, termasuk dua edisi Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (EURO).
Memulakan karier di Portugal bersama Boavista, Meireles berhijrah ke skuad gergasi Liga Primeira, FC Porto, sebelum memenangi empat gelaran liga selama empat musim berturut-turut. Pencapaian itu membuatkan Liverpool tertarik untuk mendapatkan khidmatnya dan dia akhirnya tiba di Anfield pada tahun 2010.
Dia bersama The Kop selama setahun. Bagaimanapun, Meireles melakukan kejutan apabila meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan Pilihan Peminat daripada Peratuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA), sekaligus menarik minat Chelsea untuk mendapatkannya menerusi yuran perpindahan berjumlah 12 juta paun.
Walaupun kehadirannya dipersoalkan kerana dia hanya menjadi pilihan kedua selepas The Blues gagal mendapatkan khidmat Luka Modric, Meireles pantas membuktikan kebolehannya. Kerjasama yang baik dapat dihasilkan oleh tonggak tengah Portugal itu apabila beraksi di bawah bimbingan bekas pengurus di Porto, Andre Villas-Boas, sebelum pengendali itu dipecat sebelum berakhirnya musim 2011/12.
Meireles merupakan sebahagian daripada pemain yang membarisi pasukan dari London itu ketika menjuarai Piala FA dan layak ke final Liga Juara-Juara Eropah pada musim tersebut, sebelum meraih gelaran juara selepas menundukkan Bayern Munich. Bagaimanapun, layangan kad kuning kedua ketika separuh akhir bertemu Barcelona membuatkan Meireles aksi akhir itu.
Walaupun dia tidak dianggap sebagai legenda Chelsea, khidmatnya sentiasa akan dikenang. Pemilik jersi nombor 16 itu beraksi dalam 11 perlawanan sebelum menjulang trofi Liga Juara-Juara dan dia juga menjaringkan gol ketika mengatasi Benfica di peringkat suku akhir.
Sayang, jodoh Meireles di Stamford Bridge juga hanya bertahan selama setahun apabila The Blues membuatkan keputusan untuk melepaskannya ke Fenerbahce. Di Istanbul, dia meraih gelaran Superliga pada tahun 2014. Apa yang menarik, Meireles semakin memperlihatkan sisi minat fesyen yang tinggi. Selain menambahkan jumlah tatu pada tubuhnya, dia juga mewarnakan potongan rambut dengan warna perang dan menyimpan jambang. Sering dilihat dengan motorsikal berkuasa besar di sekitar kota Istanbul, gaya Meireles tidak ubah seperti siri televisyen popular, “Son of Anarchy”.
Selepas empat tahun berkelana di Turki, akhirnya tamat kisah Meireles bersama Fenerbahce. Sehingga kini, dia masih belum memiliki sebarang pasukan. Mungkin mana-mana pasukan di Malaysia boleh membuat tawaran untuk membawa Meireles ke pentas Liga Super?