Setiap orang pasti rela berkorban demi mendapatkan satu kejayaan dan pemain bola sepak juga tidak terlepas daripada situasi itu. Ada yang terpaksa mengubah tempat di atas padang disebabkan keperluan pasukan sementara terdapat pemain yang diubah atas alasan mereka lebih bagus dengan posisi baru.
Berikut adalah antara pemain yang telah diubah posisinya:
JAMES MILNER
Milner sebenarnya merupakan pemain yang lebih cenderung untuk menyerang. Dia memiliki kekuatan tubuh yang kukuh untuk merobek pertahanan lawan. Bagaimanapun, apabila Jurgen Klopp berdepan masalah di bahagian bawah, Milner diminta untuk mengisi kekosongan itu. Disebabkan Alberto Moreno gagal menampilkan aksi yang meyakinkan, Milner telah merampas posisi bek kiri daripadanya. Bagi musim 2016/17, dia telah beraksi di posisi tersebut sebanyak 34 kali.
DAVID ALABA
Bersama Bayern Munich, Alaba telah berkembang untuk muncul selaku salah seorang pertahanan kiri terbaik dunia. Namun, kemunculan awalnya bukan di posisi itu tetapi sebagai pemain tengah bertahan. Buktinya, sehingga kini, dia masih mengepalai jentera tengah skuad kebangsaan Austria walaupun setiap musim bermain di bahagian bawah untuk Bayern.
ASHLEY YOUNG
Dibawa ke Old Trafford dari Aston Villa oleh Sir Alex Ferguson, Young mula dikenali disebabkan aksi lincahnya di bahagian sayap. Kehadiran Louis Van Gaal telah mengubah posisinya kerana berpendapat dia mampu menyerang dan bertahan dengan baik. Sehingga kini, walaupun United dikendalikan oleh Jose Mourinho, dia tetap diturunkan sebagai bek kiri, bahkan kadangkala ditempatkan di posisi pertahanan kanan.
MOUSSA DEMBELE
Ketika ini, Dembele dikenali sebagai pemain tengah bertahan yang kental bersama Tottenham Hotspur, namun perlu diingat bahawa dia memulakan kehidupannya di England sebagai penyerang kedua. Sewaktu beraksi untuk Fulham, pemain dari Belgium itu bermain di bahagian depan, sebelum diubah ke tengah.
ALAN SMITH
Dibawa masuk menyertai Manchester United selepas aksi hebat sebagai penyerang Leeds United, Smith dijadikan selaku pengganti buat Roy Keane di bahagian tengah. Malangnya, dia gagal memberikan impak besar kepada pasukan sama seperti bekas kapten Red Devils itu dan sering menerima kritikan. Walaupun Sir Alex Ferguson kembali meletakkannya sebagai penyerang, Smith kini kekal beraksi selaku pemain tengah bertahan bersama pasukan terkini, Notts County.
ANTONIO VALENCIA
Valencia juga melalui episod perubahan posisi yang sama seperti Young. Walaupun Sir Alex Ferguson pernah mencubanya sebagai bek kanan, kehadiran Louis Van Gaal telah meletakkannya di situ secara tetap. Lebih menarik, dia pernah diberikan jersi nombor 7 milik Cristiano Ronaldo tetapi kembali menggunakan nombor 25, nombor asalnya ketika tiba di Old Trafford.
JAVIER MASCHERANO
Ketika berada di bawah kendalian Rafael Benitez di Liverpool, Mascherano muncul sebagai salah seorang pemain tengah bertahan terbaik dunia sehingga menarik perhatian Barcelona. Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di Camp Nou, pemain dari Argentina itu tampak gagal menyesuaikan diri dengan gaya permainan di bahagian tengah Barca bersama Xavi, Andres Iniesta dan Sergio Busquets, menyebabkannya terpaksa diletakkan di posisi bek tengah. Ya, dia meraih banyak kejuaraan selepas itu.
GARETH BALE
Pernah muncul sebagai pemain termahal dunia ketika berhijrah ke Real Madrid, bale memulakan kariernya bersama Tottenham Hotspur sebagai bek kiri. Kedatangan Andre Villas-Boas telah membuatkan Bale dilihat lebih bagus untuk beraksi di bahagian sayap sehingga membolehkannya mendapat tempat di Santiago Bernabeu.