Nampaknya masalah gaji di Liga Malaysia masih belum selesai. Selepas banyak kes yang berlaku sejak kebelakangan ini, nampaknya masih belum nampak isu ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh masa terdekat.
Terbaru, bekas penyerang Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew mendedahkan bahawa Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) masih belum melangsaikan tunggakan gajinya berbaki dua bulan.
Jafri yang menyertai PKNS pada musim ini menyatakan FAP masih tidak menunjukkan perkembangan positif walaupun sudah diberi tempoh masa yang mencukupi.
“Saya amat memahami masalah FAP yang menghadapi bebanan kewangan, sebab itu selama ini saya tidak terlalu mendesak serta memberi masa untuk mereka menyelesaikannya,” kata Jafri seperti dipetik dari laporan Harian Metro.
“Namun, selepas sekian lama menunggu, tidak ada tindakan positif diambil persatuan itu untuk menyelesaikannya. Malah, FAP seolah-olah menyepi bila langsung tidak menghubungi saya untuk berbincang.
“Tunggakan gaji dua bulan itu mungkin dianggap tidak banyak tapi ia tetap hak saya sebagai pemain. Saya harap FAP tidak terlepas pandang isu ini walaupun kini saya sudah tidak bersama mereka lagi.”
Isu ini telah dibawa Jafri kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) pada bulan lalu.
Dalam menuju ke arah penswastaan dan profesionalisme, isu-isu seperti ini tidak seharusnya berlaku. Jika kelab tidak mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh, mereka tidak patut menjanjikan gaji yang lebih dari apa yang mereka mampu bayar. Ukurlah baju di badan sendiri. Jangan kerana mahu mengejar kejayaan singkat, merana untuk tempoh yang lama.