Malaysia

Malaysia bakal bertemu Indonesia, Korea Utara dan Bahrain di PSSI Anniversary Cup

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) akan menjemput Malaysia untuk turut serta dalam kejohanan Anniversary Cup 2018 yang dijadualkan akan berlangsung pada 28 April hingga 4 Mei nanti.

Menurut Setiausaha Agung PSSI, Ratu Trisha akan ada empat pasukan bertanding dalam kejohanan ini.

“Bagi menyambut ulang tahun PSSI pada 19 April, PSSI akan menganjurkan kejohanan Anniversary Cup.

“Pesertanya ada empat termasuk Indonesia. Juga ada Bahrain serta Malaysia. Setakat ini kami sudah menghantar jemputan untuk pasukan dari Asia Timur dan Asia Barat,” katanya seperti dilaporkan dalam Kompas.com

Menurut perkembangan terkini, empat negara yang akan beraksi dalam kejohanan tersebut adalah Indonesia, Malaysia, Korea Utara dan Bahrain.

Kejohanan ini dianjurkan sempena ulang tahun PSSI yang ke-88 dan juga sebagai persiapan buat skuad Bawah 23 tahun Indonesia menjelang Sukan Asia di Jakarta nanti.

Dua stadium yang akan digunakan bagi kejohanan ini adalah Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) dan Stadium Pakansari, Cibinong.