Indonesia mungkin menjadi destinasi seterusnya untuk Jorge Pereyra Diaz selepas Johor Darul Ta’zim mengumumkan bahawa penyerang Argentina itu telah meminta untuk meninggalkan the Southern Tigers hanya selepas empat perlawanan Liga Super.
Menurut kenyataan JDT, Diaz meninggalkan hotel penginapan pasukan di Singapura pada malam Ahad lepas. “Ejen beliau telah menghubungi kami dan memberitahu tentang niat pemain tersebut yang ingin meninggalkan kelab. Kelab telah membuat keputusan untuk menghormati keputusan tersebut dan membiarkan beliau pergi,” kata Alistair Edwards, Pengarah Teknikal JDT.
Walaupun berita ini hadir pada waktu yang cukup mengejutkan, hubungan di antara Jorge Pereyra Diaz dan JDT pernah mengalami masalah sebelum ini, terutamanya apabila pemain tersebut meninggalkan Johor Bahru pada penghujung 2016.
Tetapi, bekas penyerang Independiente itu kini sedang dikaitkan dengan kelab Persib Bandung di Indonesia. Skuad Pangeran Biru itu kini dikendalikan oleh bekas jurulatih JDT, Mario Gomez dan menurut sahabat kami di Football Tribe Indonesia, Diaz mungkin berada di radar kelab tersebut.
“Diaz pernah dikaitkan dengan Persib sebelum ini, apabila Mario Gomez baru sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih. Dia jelas berkata bahawa dia mahu membawa masuk seorang penyerang import, dan kebanyakkan spekulasi pada masa itu mengandungi nama Jorge Pereyra Diaz,” kata Isidorus Rio, Ketua Editor Football Tribe Indonesia.
“Spekulasi tersebut tamat apabila Diaz membuat keputusan untuk kembali beraksi bersama JDT. Walau bagaimanapun, nama Diaz sudah mula diungkit oleh peminat Persib di Indonesia.
“Jendela perpindahan di Indonesia masih terbuka, dan Persib masih memerlukan seorang penyerang import. Malah, spekulasi turut mengatakan bahawa pemain berstatus ‘Marquee’ di Persib, iaitu Michael Essien, mungkin dijual atau dilepaskan dalam masa terdekat,” tambah Rio.
Meskipun Diaz sering dilanda masalah di JDT, termasuk ketika bermain di bawah Bojan Hodak pada tahun 2014, penyerang Argentina itu dikatakan mempunyai hubungan yang cukup positif dengan Mario Gomez. Dia berjaya mencipta gandingan yang mantap dengan Juan Martin Lucero, menggunakan formasi 4-4-2 yang disukai oleh Gomez, sepanjang musim 2016.
Musim tersebut, Diaz berjaya menjaringkan 32 gol dalam 34 penampilan – statistik yang turut membantu JDT menjuarai Piala FA dan juga Liga Super buat kali ketiga berturut-turut.
Johor Darul Ta’zim akan turun menentang Song Lam Nghe An dengan hanya satu penyerang import, iaitu Luciano Figueroa, selepas Gonzalo Cabrera gagal didaftarkan sebelum tarikh yang ditetapkan oleh AFC. Jurulatih sementara, Raul Longhi akan mengendali skuad Southern Tigers untuk perlawanan ini, selepas Ulisses Morais meletak jawatan sebagai ketua jurulatih beberapa hari lepas.