Kelantan mungkin akan melantik bekas jurulatih skuad kebangsaan Syria, Fajr Ibrahim untuk menjadi pengendali mereka buat baki musim Liga-M tahun ini.
Selepas memecat Sathit Bensoh baru-baru ini, Kelantan FA (KAFA) telah mengenal pasti senarai empat jurulatih luar negara yang mampu mengisi posisi tersebut, dan senarai tersebut turut mengandungi nama Fajr Ibrahim.
“Fajr merupakan antara empat jurulatih yang sedang diintai oleh KAFA bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sathit ketika ini dan tiga calon jurulatih lain ialah dari Croatia, Iran dan Nigeria.
“Fajr dipilih menjadi antara calon mengemudi Kelantan kerana ketegasan beliau dalam membimbing Syria sebelum ini,” katanya Presiden KAFA, Bibi Ramjani, menurut laporan Bernama.
Jurulatih yang berumur 53 tahun ini pernah menjadi melatih skuad kebangsaan Syria tiga kali sepanjang kariernya. Rekod terkini beliau bersama skuad Syria juga agak positif, 10 kemenangan daripada 13 perlawanan di antara Januari 2015 dan Mac 2016.
Selepas tiga perlawanan, Kelantan masih belum mencatat tiga mata pertama mereka di pentas Liga Super musim ini, dengan satu seri dan dua kekalahan.