Uzbekistan telah berjaya menjuarai kejohanan AFC B-23 tahun selepas menumpaskan Vietnam 2-1 selepas masa tambahan di pentas final petang tadi.
Perlawanan tersebut diteruskan, meskipun padang di Pusat Olimpik Changzhou dipenuhi dengan salji dan pasukan Uzbekistan berjaya meledak seawal minit ke-8, melalui Rustamjon Ashurmatov.
Namun, anak buah Park Hang-seo tidak mengalah, dan cuba meningkatkan tempo perlawanan sepanjang baki babak pertama. Hasilnya? Nguyen Quang Hai berjaya menyamakan kedudukan empat minit sebelum waktu rehat, melalui sepakan percuma yang cukup cantik.
Uzbekistan terus mengawal perlawanan pada babak kedua, namun gagal menyudahkan dua atau tiga peluang bagus, sekaligus membawa perlawanan ini ke masa tambahan.
Vietnam sudah memenangi dua perlawanan melalui sepakan penalti sebelum ini, dan dua minit sebelum mereka hampir memasuki peringkat sepakan penalti buat kali ketiga berturut-turut, Andrey Sidorov berjaya menewaskan penjaga gol Vietnam untuk menjaringkan gol kemenangan buat Uzbekistan.