Asia AFC U23 Championship

OKS mahu bawa Malaysia ke pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020

Ketua jurulatih skuad B-23 Malaysia, Datuk Ong Kim Swee tekad mahu bantu memperkasakan skuad muda negara agar dapat layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit.

Anak buah OKS mencipta sejarah di China baru-baru ini apabila berjaya mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama, dan mereka hanya tewas 1-2 kepada Korea Selatan di pusingan suku akhir.

Kini, Ong mahu meletakkan sasaran yang lebih tinggi untuk 2020, iaitu membawa Malaysia ke pentas Sukan Olimpik buat kali pertama sejak 1980.

“Walaupun anak buah saya bermain dengan bagus menentang Korea Selatan, saya kecewa kerana kami tidak berjaya mara ke separuh akhir,” ujar Ong kepada New Straits Times.

“Kami tidak boleh berhenti di sini. Sasaran saya adalah untuk layak ke Sukan Olimpik, namun kami perlu memulakan persediaan dari sekarang dan cuba sedaya upaya untuk mara ke peringkat separuh akhir di pentas kejohanan AFC B-23 pada tahun 2020.

Empat pasukan terakhir di pentas tersebut akan menerima slot Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara automatik dan sekiranya anak buah OKS berjaya berbuat demikian, mereka akan mengatasi rekod yang dicapai oleh skuad Malaysia pada tahun 1972 dan 1980.