Asia AFC U23 Championship

Malaysia kalah tipis: Penulis sukan Korea Selatan kongsikan pendapat tentang anak buah OKS

Tewas bermaruah.

Itu sahaja yang boleh kita perkatakan tentang kekalahan Malaysia di tangan Korea Selatan petang semalam. Meskipun berdepan dengan gergasi Asia, anak buah Ong Kim Swee tidak menunjukkan sebarang kegugupan di atas padang.

Malah, mereka turut mendominasi tempo perlawanan pada babak pertama dan juga babak kedua, sehingga Thanabalan berjaya mendapatkan gol penyamaan. Malangnya, Malaysia hilang fokus selepas itu dan Korea Selatan berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Walau bagaimanapun, kekalahan ini diterima oleh penyokong Malaysia dengan cukup positif kerana pencapaian skuad OKS di China adalah sesuatu yang cukup bersejarah. Bayangkan perkara ini. Tiada siapa yang menjangkakan bahawa Malaysia akan berjaya layak ke pentas kejohanan ini. Namun, pemain kita bukan sahaja layak, malah mereka turut berjaya mara ke peringkat kalah mati.

Bagi Korea Selatan pula, kemenangan petang semalam bermaksud mereka akan turun berentap dengan Uzbekistan di peringkat separuh akhir pada 23 Januari ini. Namun menurut sahabat kami di Football Tribe Korea, Il-Han Ryu, kebanyakkan penyokong Korea Selatan masih terkejut dengan corak permainan Malaysia petang semalam.

Berikut adalah kompilasi beberapa komen yang kami terima daripada Han Ryu.

TERKEJUT DENGAN PERSEMBAHAN MALAYSIA

Di Korea Selatan, kebanyakan orang terkejut dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak buah Ong Kim Swee semalam. Mereka bermain sebagai sebuah unit dan menunjukkan semangat berpasukan yang cukup tinggi. Setiap kali pemain Korea hilang kawalan bola, pemain Malaysia cukup laju dalam melancarkan 'counter-attack' and kebanyakan serangan tersebut jelas mengucar-kacirkan bahagian pertahanan kami. Tetapi, yang paling mengejutkan adalah Malaysia berjaya mengawal tempo perlawanan sepanjang separuh masa pertama. Selepas menyaksikan perlawanan semalam, saya yakin bahawa kualiti bolasepak di Asia Tenggara semakin meningkat.

KOREA GAGAL MENYERLAH

Walaupun kami mempunyai kualiti di atas kertas dan berjaya meraih kemenangan, barisan pemain Korea gagal menunjukkan kebolehan sebenar di atas padang, petang semalam. Hanya tiga pemain kami bermain dengan baik - Jo Jae-wan, Lee Keun-ho dan Han Seung-gyu manakala yang lain gagal menyerlah. Kami sepatutnya menggunakan momentum gol awal untuk terus mendominasi perlawanan tetapi anak buah Jeong Jeong-yong gagal menggunakan kelebihan tersebut.

FOKUS DAN TAHAP KONSENTRASI MENJADI PERBEZAAN

Berdasarkan perhatian saya, tahap fokus dan konsentrasi pemain Malaysia cukup cemerlang sepanjang 90 minit. Selalunya, pasukan yang membolos gol seawal minit pertama akan terus kecundang. Namun, pemain Malaysia terus bangkit semula dan agresif dalam menekan barisan pertahanan kami. Lebih lagi, Malaysia menggunakan bahagian sayap untuk melancarkan serangan - itu merupakan kelemahan skuad Korea ini.

AZAM AZIH MENCURI TUMPUAN

Tiga-empat pemain Malaysia yang menarik perhatian ramai di Korea Selatan, namun Azam Azih adalah pemain terbaik di atas padang petang semalam. Dia cukup tenang bila mendapat bola dan menjadi jambatan yang penting di antara pemain pertahanan dan penyerang Malaysia. Fokusnya langsung tidak terjejas meskipun bermain di dalam situasi tekanan tinggi dan itu memberi kelebihan kepada skuad Ong Kim Swee di bahagian tengah.

AZAM DAN SAFAWI ADA POTENSI UNTUK BERMAIN DI KOREA

Bolasepak di peringkat kelab dan di peringkat antarabangsa cukup berbeza, namun berdasarkan kejohanan ini, saya rasa Safawi Rasid dan Nor Azam Azih adalah dua pemain Malaysia yang mempunyai potensi untuk bermain di luar negara, termasuk Korea. Persembahan, tahap keyakinan dan kreativiti yang ditunjukkan oleh kedua-dua individu ini tidak boleh diperkecilkan.