Vietnam berjaya mara ke peringkat separuh akhir malam semalam selepas mereka meraih kemenangan yang cukup dramatik ke atas Iraq.
Selepas menunjukkan aksi cemerlang sepanjang saingan peringkat kumpulan, anak buah Park Hang-seo sekali lagi tampil dengan corak permainan yang cukup positif malam semalam.
Perlawanan tersebut tamat 1-1 selepas 90 minit, sebelum empat lagi gol dijaringkan untuk perlawanan tersebut tamat 3-3 di penghujung 120 minit.
Namun, Bui Tien Dong akhirnya muncul sebagai wira Vietnam apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Bashar Resan dan sekaligus membantu Vietnam meraih kemenangan 5-4 untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Kemenangan ini merupakan pencapaian yang cukup bersejarah untuk bolasepak Vietnam, enam bulan selepas mereka berjaya membuat penampilan pertama di pentas Piala Dunia B-20 tahun. Ini bermakna, mereka akan turun berentap dengan Qatar di peringkat separuh akhir pada 23 Januari ini.
Sejurus selepas perlawanan ini tamat, beribu-ribu orang turun ke pusat bandaraya Hanoi untuk meraikan kejayaan anak buah Park Hang-seo.
Lihat galeri gambar di bawah!