Liga Super Malaysia

“Saya tak kisah gaji rendah” – Shahrel Fikri mahu beraksi di Liga Thailand

Penyerang PKNP, Shahrel Fikri masih menyimpan harapan untuk beraksi di luar negara, walaupun baru menandatangani kontrak baru bersama kelab Liga Super itu minggu lepas.

Baru-baru ini, beberapa laporan media tempatan mendedahkan bahawa kelab-kelab Thailand ada menunjukkan minat untuk membawa masuk pemain Malaysia ke dalam skuad mereka. Namun faktor gaji yang mahal menjadi halangan untuk kelab-kelab tersebut membuat tawaran rasmi.

“Saya difahamkan ada pemain kita yang tolak tawaran bermain di sana kerana gaji lebih rendah tapi saya pula tidak kisah kerana apa yang lebih penting adalah pendedahan,” kata Shahrel kepada Arena Metro.

“Kontrak saya bersama PKNP tidak menjadi halangan kerana kami mempunyai persefahaman bersama mereka akan melepaskan saya jika menerima tawaran kelab lain.

“Jadi walaupun kontrak masih berbaki tiga tahun namun saya boleh meninggalkan PKNP bila-bila masa dalam tempoh itu dengan syarat mematuhi peraturan serta perjanjian.

“Ia bukan bermakna saya tidak menghargai jasa PKNP atau bersikap kacang lupakan kulit tapi saya nak cari pengalaman baru serta meningkatkan permainan,” kata tambah Shahrel.

Musim lepas, Shahrel berjaya meledak 20 gol untuk membantu PKNP meraih kedudukan ketiga di carta Liga Premier. Dia turut dinobat sebagai penyerang terbaik di majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan yang berlangsung bulan lepas.

Pemain muda itu dikaitkan dengan perpindahan ke pelbagai kelab lain, termasuk Johor DT semenjak dua bulan lepas. Namun, dia akhirnya membuat keputusan untuk kekal bersama pasukan PKNP.