Pulau Pinang FA (FAP) telah berjaya memikat bekas tonggak pertahanan Selangor, Ugo Ukah untuk musim Liga Premier 2018.
Pemain yang berasal daripada Nigeria itu sah menerima tawaran FAP dan dijangka akan tiba di Pulau Pinang pada hari Isnin depan untuk menandatangani kontraknya bersama skuad Harimau Kumbang.
Ini bermakna Ukah akan menjadi pemain import kedua dalam skuad kendalian Zainal Abidin untuk musim 2018. Namun, pihak pengurusan Pulau Pinang masih sedang mencari dua lagi individu untuk mengisi baki dua slot pemain import.
“Dengan adanya Ukah bersama seorang lagi pemain import yang dikekalkan dalam pasukan Pulau Pinang, Sanna Nyassi, misi untuk mencari dua lagi pemain import masih giat dilakukan FAP ketika ini,” ujar Naib Presiden FAP, Azizudin Shariff kepada Arena Metro.
“Pihak FAP kini dalam perancangan untuk membawa kembali bekas pemain import Pulau Pinang, Martias Cordoba namun keputusan masih belum diketahui dan dalam pertimbangan Zainal,” tambah beliau.
Ukah pada mulanya menyertai Selangor pada pertengahan tahun 2016 sebagai pengganti kepada Rob Cornthwaite. Dia berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang enam bulan seterusnya sebelum ditawarkan kontrak untuk 2017.
Tahun lepas pula, Ukah terlibat dalam beberapa konflik bersama rakan sepasukan di Selangor dan turut gagal menunjukkan aksi yang konsisten di atas padang, sebelum akhirnya dilepaskan oleh Red Giants.