Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim telah mendedahkan bahawa beliau merancang untuk melepaskan jawatan presiden FAM dalam masa terdekat.
Perkara ini disebut oleh TMJ, yang turut merupakan pemilik Johor Darul Ta’azim, dalam sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.
“Saya ialah presiden yang akan cuba mencari duit untuk pasukan supaya dapat bertanding tanpa bebanan, betulkan struktur dan cuba buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan. Selepas itu saya mengharapkan ada satu presiden baharu, Superman jadi Presiden FAM kerana saya tidak lama (sebagai presiden).
“Saya akan lepaskan jawatan sebagai Presiden FAM mungkin pada 2018 atau 2019. Ia bergantung tetapi lebih cepat lebih baik,” kata Tunku Ismail, dalam video tersebut.
Sebelum ini, TMJ pernah memberi bayangan bahawa pelbagai pihak dalam di FAM mempunyai konspirasi untuk menyingkirkannya daripada kerusi presiden FAM.
“Bukan sahaja nak singkirkan dia (Kevin), malah ada yang nak singkirkan saya sebagai Presiden FAM. Ramai dalam FAM yang berangan nak jadi presiden. Saya cakap terus terang,” ujar TMJ pada bulan Oktober lalu.
Namun, pada ketika itu, TMJ bertegas bahawa segala usaha untuk menjatuhkannya tidak akan berjaya.
“Ia tidak akan berlaku. Jadi dalam FAM pun ada yang cuba berpolitik, malah yang hendak menaja Liga Malaysia (Liga M) juga ada politik, kononnya hendak buat konsortium sendiri atau syarikat sendiri dan tidak perlu lagi ada FMLLP,” tambah Tunku Ismail.