Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) telah mengumumkan bahawa teknologi “Video Assistant Referee” (VAR) akan diperkenalkan di Liga 1 Thailand mulai tahun ini.
Presiden FAT, Somyot Poompanmuang mendedahkan bahawa teknologi tersebut akan digunakan buat kali pertama dalam perlawanan ‘Champions Cup’ di antara juara liga 2017, Buriram United dan juga juara Piala FA, Chiangrai United pada 19 Januari.
Sekiranya teknologi tersebut beroperasi tanpa masalah, ia akan diterapkan ke dalam Liga 1 Thai, yang dijadualkan untuk bermula pada 9 Februari.
Namun sebelum itu, Somyot turut berkata bahawa FAT akan bekerjasama dengan setiap kelab di Liga 1 Thai untuk mengkaji proses dibelakang teknologi ini dan juga kesediaan stadium yang digunakan oleh kelab-kelab tersebut untuk menerapkan teknologi VAR.
Selain meningkatkan kualiti bolasepak domestik, FAT turut mahu menggunakan teknologi ini untuk membanteras gelaja ‘match-fixing’ yang semakin berleluasa di negara itu.
Setakat ini, teknologi VAR telah digunakan di beberapa liga yang besar seperti Bundesliga dan Serie A. Dua lagi liga yang dikatakan akan menerapkan teknologi ini tidak lama lagi adalah Liga Perdana Inggeris dan juga La Liga.