Luar Negara

Jeddah Club berminat untuk bawa bekas bintang JDT ke Arab Saudi?

Bintang bolasepak Singapura, Baihakki Khaizan dikatakan sedang menempuhi sesi trial bersama kelab Arab Saudi, Jeddah Club.

Bekas pemain JDT itu mengesahkan berita tersebut dalam temu ramah bersama FourFourTwo dan pasukan divisyen kedua Arab Saudi itu dikatakan berminat untuk menandatangani Baihakki sekiranya sesi trial ini berjalan dengan lancar.

“Saya amat bersyukur atas peluang untuk meneroka dan menimba pengalaman di Timur Tengah kerana tahap bolasepak di sini jelas lebih bagus,” ujar Baihakki.

“Saya tekad untuk menggunakan peluang ini sebaik mungkin. Harap-harap saya dapat memberikan yang terbaik untuk negara dan keluarga saya,” tambah Baihakki.

Menurut laporan FourFourTwo, Baihakki diberi tawaran ini ketika dia mengerjakan umrah bersama keluarga. Presiden Jeddah Club dikatakan masih ingat kepada Baihakki, selepas menyaksikan persembahannya apabila Singapura turun menentang skuad kebangsaan Arab Saudi beberapa tahun lepas.

Baihakki mula terkenal di Malaysia selepas membantu LionsXII meraih kejuaraan Liga Super pada tahun 2013. Tahun seterusnya, Baihakki berhijrah ke Johor DT, sebelum diterapkan ke dalam skuad JDT II sehingga penghujung tahun 2016. Musim lepas, pemain yang berusia 33 tahun itu bermain untuk Warriors FC di Liga Singapura.

Sekiranya sesi trial tersebut berjalan dengan lancar, Baihakki akan menjadi pemain Singapura pertama untuk beraksi di kancah bolasepak Arab Saudi.