Luar Negara

Kesebelasan terbaik Liga-Liga Eropah edisi 9-11 Disember

 

Hujung minggu lepas, kita disajikan dengan aksi-aksi yang cukup menarik di seluruh Eropah. Real Madrid berjaya menjaringkan lima gol untuk menewaskan Sevilla, manakala Tottenham Hotspur juga berjaya meraih kemenangan 5-1 ke atas Stoke City. Malam semalam pula, Man City memungut tiga mata dengan kemenangan 2-1 ke atas Man United di Old Trafford.

Berdasarkan aksi-aksi yang kami saksikan di Eropah, panel Football Tribe telah memilih kesebelasan terbaik untuk 9-11 Disember!

GK: Stefano Sorrentino (Chievo)

Walaupun berusia 38 tahun, penjaga gol Chievo ini bermain dengan cukup baik untuk membantu Chievo mendapatkan satu mata apabila mereka berdepan dengan AS Roma pada hari Sabtu lepas. Dia berjaya memastikan bahawa serangan bertubi-tubi yang dilaksanakan oleh Roma tidak menembus gawang golnya sepanjang 90 minit tersebut. 

 

DF: Giorgio Chiellini (Juventus)

Pemain veteran ini menunjukkan persembahan yang cukup kental apabila Juve turun padang menetang Inter Milan. Cuba bayangkan perkara ini. Mauro Icardi merupakan penyerang terbaik dalam Serie A musim ini, namun dia hanya berjaya menyentuh bola sepuluh kali sahaja sepanjang perlawanan ini. Ini kerana Chiellini diberi tanggungjawab 'man-marking'. 

DF: Kevin Long (Burnley)

Selepas berbulan-bulan memanaskan bangku simpanan, Kevin Long akhirnya diberi peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama Burnley apabile mereka bertemu dengan Watford tempoh hari. Dan pemain pertahanan tengah itu menunjukkan aksi yang memberangsangkan, sekaligus membantu Burnley meraih kemenangan 1-0 ke atas skuad kendalian Marco Silva. 

DF: Jerome Boateng (Bayern Munich)

Jarang sekali kita menyaksikan sebarang perlawanan Bundesliga di mana Bayern Munich hanya sekadar bermain dengan corak 'defensive'. Namun apabila kelab Bavaria itu bertemu Eintracht Frankfurt pada hari Sabtu, persembahan Jerome Boateng menjadi faktor utama yang membantu mereka meraih kemenangan 1-0, walaupun Frankfurt jelas mendominasi tempo perlawanan tersebut. Boateng turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan itu. 

MF: Arthur Masuaku (West Ham)

West Ham berjaya mendapatkan tiga mata pertama di bawah kendalian David Moyes apabila mereka menewaskan Chelsea 1-0 pada hari Sabtu lepas. Dalam perlawanan tersebut, Arthur Masuaku berjaya membuat 11 'dribbles' - jumlah yang cukup tinggi jika kita sedar bahawa mereka berdepan dengan pasukan yang menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lepas. Selain itu, Masuaku turut melakukan empat 'tackle' bersih. 

MF: David Silva (Manchester City)

Malam semalam, Manchester City berjaya membuktikan bahawa mereka merupakan calon terunggul untuk memenangi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dan David Silva memainkan peranan yang cukup penting untuk membantu mereka mengalahkan Man United di Old Trafford. Dia menjaringkan satu gol dan berjaya melaksanakan empat 'dribble'. 

MF: Giacomo Bonaventura (AC Milan)

AC Milan berdepan Bologna semalam tanpa sebarang kemenangan sejak Gennaru Gattuso mengambil alih sebagai ketua jurulatih. Namun, bekas bintang Milan itu akhirnya dapat meraih tiga mata pertama selepas Giacomo Bonaventura menjaringkan dua gol untuk membantu Rossonerri menewaskan Bologna 2-1. 

MF: Antonin Barak (Udinese)

Pemain kelahiran Czech Republic ini menjaringkan gol pada minit ke-4 untuk meletakkan Udinese dalam kedudukan yang cukup selesa sebelum mendapatkan satu 'assist' untuk membantu pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas Benevento. Kemenangan ini sudah tentu akan meningkatkan tahap keyakinan mereka sebelum mereka bertemu Inter Milan minggu depan. 

FW: Son Heung-min (Tottenham Hotspur)

Spurs akhirnya berjaya menunjukkan tanda kebangkitan melalui kemenangan 5-1 ke atas Stoke City tempoh hari, di mana penyerang Korea Selatan, Son Heung-min dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Bekas bintang Bayer Leverkusen itu menjaring satu gol dan mencatat satu 'assist', selain berjaya membuat enam hantaran yang cukup bagus di sepanjang perlawanan tersebut. 

FW: Cristiano Ronaldo (Real Madrid)

Beberapa hari selepas memenangi anugerah Ballon d'Or untuk kali kelima, Cristiano Ronaldo membuktikan kenapa dia menjadi pilihan ramai untuk anugerah tersebut dengan persembahan lima bintang. Walaupun hanya berjaya menyentuh bola 38 kali sepanjang 90 minit, Ronaldo berjaya menjaringkan dua gol dan membantu Madrid menewaskan Sevilla 5-0. 

FW: Kylian Mbappe (PSG)

Seminggu selepas PSG tewas buat kali pertama musim ini, mereka berjaya bangkit semlua dua hari lepas dengan kemenangan 3-0 ke atas Lille. Dua daripada tiga gol itu dihasilkan oleh Mbappe. Pemain berusia 18 tahun itu menjaringkan satu gol and membuat satu 'assist'. Ini bermakna Mbappe telah berjaya 10 gol dan mencatatkan 8 'assists' dalam 18 perlawanan untuk PSG musim ini.

Kesebelasan terbaik untuk 9-11 Disember

Sorrentino, Boateng, Long, Chielini, Masuaku, Silva, Bonaventura, Barak, Son, Ronaldo, Mbappe