Pasukan B-23 tahun Malaysia akan berlatih di Korea Selatan dan China sebelum memulakan kempen Piala Asia B-23 tahun pada bulan Januari nanti.
Tunku Ismail, melalui kenalannya di Persatuan Bolasepak Korea Selatan dan Persatuan Bolasepak China, telah berjaya menganjur kem latihan di kedua-dua negara tersebut untuk membantu persediaan skuad Ong Kim Swee untuk kejohanan tersebut.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin berkata: “Mengikut perancangan program persiapan skuad B-23 kebangsaan ini, kem latihan pusat tempatan akan diadakan selama 20 hari di Johor Bahru bermula pada 27 November ini hingga 16 Disember dengan dua perlawanan persahabatan tempatan dijadual pada 9 dan 14 Disember.
“Seterusnya, skuad B-23 kebangsaan akan terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember untuk kem latihan pusat di sana selama 14 hari sehingga 30 Disember yang merangkumi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa pada 22, 25 dan 28 Disember, salah satunya berkemungkinan bertemu skuad B-23 Korea Selatan.
“Kemudian, skuad B-23 kebangsaan akan terus ke Nanjing, China untuk kem latihan pusat terakhir selama lapan hari sehingga 6 Januari dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa diatur pada 5 Januari iaitu bertemu salah satu pasukan dari kumpulan lain yang turut akan beraksi pada Kejuaraan B-23 AFC 2018.
“Untuk makluman semua, program latihan pusat luar negara di Mokpo, Korea Selatan dan Nanjing, China itu dapat direalisasikan dengan adanya hubungan rapat DYAM Tunku Presiden dengan Presiden Persatuan Bolasepak Korea (KFA), Chung Mong Gyu dan juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak China (CFA), Zhang Jian,” tambah Datuk Hamidin.
Skuad Ong Kim Swee dijangka tiba di Changsu, China pada 6 Januari, sebelum perlawanan pertama mereka menentang Iraq pada 10 Januari. Perlawanan kedua mereka (vs Jordan) akan berlangsung pada 13 Januari manakala perlawanan ketiga (vs Arab Saudi) akan berlangsung pada 16 Januari.