Tidak begitu lama sebelum ini, Pulau Pinang sering dilabel sebagai pasukan yang mempunyai masa depan yang agak cerah. Pasukan Harimau Kumbang itu dibintangi oleh tiga pemain muda, yang turut boleh dikatakan antara pemain muda terbaik di Malaysia.
Nama-nama tersebut adalah S. Kumaahran, Syamer Kutty dan juga Jafri Firdaus Chew. Ketiga-tiga pemain memainkan peranan yang penting dalam skuad Pulau Pinang musim ini, walaupun mereka tidak berjaya elak penyingkiran ke Liga Premier.
Selain itu, mereka juga diberikan kepercayaan oleh Datuk Ong Kim Swee untuk skuad Malaysia B-23 yang bertanding di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 dan juga Sukan SEA. Malah, persembahan mereka di Sukan SEA yang berjaya membuka mata ramai terhadap tiga pemain ini.
Tetapi, situasi ini bakal berubah dengan ketiga-tiga pemain tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain. Beberapa minggu lepas, Tunku Ismail mendedahkan bahawa beliau berminat untuk membawa Kumaahran dan Syamer Kutty ke Johor DT untuk musim 2018.
Sekarang, Jafri Firdaus Chew juga telah menyatakan kesediaannya untuk berhijrah ke pasukan lain, sekiranya diberi tawaran yang bagus.
“Kontrak saya dengan Pulau Pinang habis hujung tahun ini dan saya tak tahu lagi hala tuju bagi musim depan,” kata Jafri kepada Berita Harian.
“Jika ada pasukan berminat mendapatkan khidmat saya, saya mungkin akan pertimbangkan namun saya akan mendapatkan pandangan ahli keluarga terlebih dulu terutamanya restu ibu bapa saya,” jelas Jafri, penyerang skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan.”
Adakah anda setuju dengan keputusan mereka untuk berhijrah ke pasukan lain, terutamanya Johor DT?