Malaysia Berita

Apa pandangan Nelo Vingada tentang isu kad merah Safiq Rahim?

Ketua jurulatih Malaysia, Nelo Vingada tidak mahu menyalahkan keputusan pengadil untuk memberi kad merah kepada Safiq Rahim malam semalam, walaupun beliau berpendapat bahawa pemain JDT itu tidak mempunyai niat yang buruk.

Malaysia tewas 0-2 di tangan Hong Kong malam semalam dan kedua-dua gol hadir selepas Safiq diarahkan meninggalkan padang pada minit ke-40. Kapten skuad Harimau Malaya itu diberi kad merah selepas memijak pemain Hong Kong ketika dia cuba mendapatkan bola.

Insiden tersebut meninggalkan Malaysia dengan 10 pemain di atas padang dan empat minit kemudian, Hong Kong berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Tarres. Pada minit ke-49 pula, Jaimes McKee meledak untuk memberi pasukan tuan rumah kelebihan 2-0.

“Saya tak nampak kerana insiden itu berlaku di kawasan sebelah Hong Kong. Mungkin Safiq terpijak sedikit tapi saya percaya tiada niat untuk mencederakan,” ujar Vingada, menurut laporan Arena Metro.

“Apapun, saya puji pengadil malam ini apabila bertindak tegas sepanjang aksi. Saya ucapkan tahniah kepada tuan rumah atas kemenangan mereka.

Walaupun insiden tersebut boleh dilabel sebagai ‘turning point’ dalam perlawanan semalam, Malaysia turut menghadapi kesulitan sebelum perlawanan.

Selepas Hazwan Bakri terpaksa digugurkan dari skuad kebangsaan atas sebab kecederaan, Darren Lok juga menjadi mangsa apabila mengalami kecederaan paha, dua hari sebelum perlawanan. Situasi ini memaksa Vingada untuk menggunakan formasi 4-6-0 untuk perlawanan malam semalam.

“Macam dapat dilihat malam ini, kami tiada penyerang tulen yang mana kebanyakan pemain sekadar memanaskan bangku simpanan dengan tonggak import menguasai saingan liga. Jadi, situasi itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami biarpun kalau diikutkan kami mampu meraih sesuatu di sini.

“Namun ia bukan alasan dan saya harap selepas ini persediaan kami akan lebih baik berbanding perlawanan ini,” tambah beliau.