Nampaknya, kes tunggakan gaji Velizar Popov bakal diselesaikan.
Sejak Bibi Ramjani mengambil alih Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), beliau berjaya melangsaikan tunggakan gaji para pemain. Dan menurut laporan Arena Metro, KAFA sedang bersedia untuk berhubung dengan Popov, demi melangsaikan bayaran gajinya.
“Setakat ini, hanya sebahagian wang tajaan diberikan oleh penaja, jadi kita harap penaja melunaskan bakinya bagi membolehkan kita membayar tunggakan gaji Popov serta beberapa pemain import termasuk bekas tonggak pertahanan, Jonathan Mc Kain,” Bibi Ramjani memberitahu Arena Metro.
Perkembangan ini penting kerana sebelum ini, Bibi Ramjani dituduh hanya menggunakan wang peribadinya untuk melangsaikan hutang pasukan. Situasi ini jelas menentang hasrat para penyokong The Red Warriors, yang mahu melihat pasukan mereka beroperasi menggunakan pelan kewangan yang kukuh.
“Itu tanggapan salah dan sebenarnya sebahagian daripada hutang lama KAFA kita bayar dengan gunakan wang daripada penaja serta wang KAFA sebelum ini.
“Saya hanya gunakan wang peribadi untuk bayar gaji pemain yang masih bersama dengan The Red Warriors (TRW). Tindakan ini demi menaikkan semangat pemain supaya mereka tidak dibelenggu dengan masalah kewangan selain mahu memastikan mereka dapat beraksi dengan baik,” tambah Bibi.