UKM FC dan Sime Darby FC telah mengesahkan slot ke Liga Perdana 2018 selepas berjaya meraih kemenangan dalam separuh akhir Piala FAM.
Kedua-dua perlawanan berlangsung petang tadi, dengan UKM mengalahkan Shahzan Muda 1-0 untuk masuk ke final Piala FAM. Sime Darby turut mara ke final selepas mengalahkan FELCRA 1-0.
Perlawanan pusingan pertama untuk final Piala FAM akan berlangsung pada Ahad 15 Oktober, manakala pusingan kedua pula akan berlangsung pada Ahad 23 Oktober.
Sebagai finalis Piala FAM, kedua pasukan sah mara ke Liga Perdana 2018. Ini juga bermakna bahawa Liga Perdana 2018 akan menyaksikan ‘University Derby’ di antara UKM FC dan UiTM FC.
Perlawanan seperti ini selalunya disaksikan dalam Liga IPT, namun tahun depan, ianya akan disaksikan dalam platform yang lebih berprestij. Para penyokong kedua-dua pasukan juga sudah mula berkongsi keseronokan di Twitter.
UKM FC dan Sime Darby layak ke Liga Perdana tahun depan. Tahniah!
Next year…pertarungan bebudak U di Liga Perdana…UKM FC v UiTM FC!
— kopitehmilo 🏴 (@Mskopites) October 8, 2017
UKM FC layak ke Liga Perdana. Baru ada fight dengan UiTM FC! Syok la lepas ni. Harap kehadiran penuh! #UiTMDihatiku
— The Albatross | TTPD (@LeAlterEgo) October 8, 2017
Sepanjang tahun 2017, pasukan UiTM memberi cabaran yang sengit kepada pasukan-pasukan gergasi lain di Liga Premier Malaysia, termasuk Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor DT II. Selain itu, pasukan ini juga berjaya mara ke pusingan ketiga Piala FA, sebelum tewas di tangan Johor DT.
Mereka juga berjaya meraih slot dalam peringkat kumpulan Piala Malaysia. Malangnya, pasukan kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail itu hanya mampu meraih dua kemenangan daripada enam perlawanan – keputusan yang tidak membenarkan mereka mara ke peringkat kalah mati.
Dengan berbaki satu lagi perlawanan, UiTM FC sekarang berada di tangga keenam di Liga Premier Malaysia, lapan mata di belakang Johor DT II, yang berada di tangga kelima.