Liga Super Malaysia

Hukuman Dollah Salleh diringankan

Kelmarin ketika sesi Face Off bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan hukuman penggantungan 18 bulan ke atas pengendali Pahang, Dollah Salleh akan dikurangkan kepada lima bulan yang dijangka berakhir pada Disember tahun ini. Jawatankuasa Rayuan FAM yang diketuai oleh barisan peguam berpengalaman sudah membincangkan permohonan rayuan berkenaan dan mengakui hukuman Dollah akan diringankan.

Ini merupakan berita baik kepada pasukan Pahang dan juga para penyokong mereka.

“Semua ini (keputusan) di bawah kendalian badan berkecuali yang terdiri daripada sekumpulan peguam. Mungkin, saya rasa Dollah Salleh tidak akan digantung selama setahun setengah (18 bulan). Sebenarnya saya dah tahu berapa bulan yang Dollah Salleh akan digantung. Beliau akan digantung selama 5 bulan sahaja,” katanya pada sesi bual bicara ‘Face Off’ bersama Presiden FAM di Johor Bharu, kelmarin.

“Beliau akan digantung hanya 5 bulan sehingga Disember, saya rasa bayaran (denda) dia pun tidak sampai RM30,000. Selain itu, beliau masih dibenarkan melatih pasukan cuma tidak boleh duduk dengan bench (kawasan teknikal) sahaja.”

“Itulah cara pasukan perundangan kami ringankan (hukuman),” katanya.

Sebelum ini, FAM menjatuhkan hukuman berat ke atas bekas pengendali dan pemain skuad Harimau Malaya itu apabila digantung 18 bulan serta denda RM30,000 kerana mengkritik mutu pengadilan sejurus berakhirnya aksi Liga Super antara Pahang dan FELDA United pada 1 Julai lalu.

Keputusan hukuman itu dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, kerana Dollah didapati melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.

Pengendali berusia 54 tahun itu turut dihukum kerana mengecam urusan pentadbiran hal-ehwal FAM tanpa mendapatkan kebenaran badan induk itu yang boleh memberi impak negatif ke atas nama baik serta reputasi FAM.