Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merayu pasukan negeri dan kelab supaya melepaskan pemain untuk menyertai skuad bawah 22 tahun negara (B-22) ke saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, bulan depan. Namun begitu, badan induk itu tidak boleh mengambil sebarang tindakan ke atas pasukan yang enggan melepaskan pemain kerana kejohanan itu tidak terikat dengan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“FAM tiada kuasa wajib untuk menetapkan isu ini kerana peraturan FIFA hanya membabitkan skuad kebangsaan dan kejohanan yang berada dalam kalendar badan induk itu saja.” jelas setiausaha agung FAM, Datuk Hamidin Amin.
“Jadi, FAM merayu kepada semua pasukan untuk memberi ruang kepada jurulatih Datuk Ong Kim Swee mendapatkan barisan pemain terbaik beliau,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya semalam.”
Difahamkan lapan pemain daripada 26 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat bermula 5 Julai depan tidak mendapat pelepasan pasukan masing-masing.
Hamidin mengaku beliau faham dengan situasi yang dihadapi pasukan berkenaan dan mereka bersedia untuk mengadakan perbincangan bagi mencapai keputusan terbaik.
“Kita faham jadual padat untuk semua pasukan dalam Liga Malaysia sepanjang Julai dan mereka memerlukan pemain utama. Apapun kita akan bincang dulu dan mungkin akan buat keputusan Rabu ini.
“Peluang untuk kita mendapat tempat kedua jika kita bawa pasukan terbaik adalah cerah, kelayakan ini penting untuk kita beraksi di pusingan akhir di China tahun depan,” katanya.
Pada saingan kelayakan di Bangkok, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama Thailand, Indonesia dan Mongolia.
Tiga perlawanan yang bakal dihadapi skuad Kim Swee pada saingan kelayakan bagi Kumpulan H di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok itu nanti adalah bertemu Indonesia pada 19 Julai diikuti Thailand (21 Julai) dan Mongolia (23 Julai).
Mereka akan kembali ke tanah air, sehari selepas itu dan bakal berkumpul semula untuk kem latihan pusat fasa akhir bermula 1 Ogos bagi menghadapi acara bola sepak Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur bermula 14 Ogos hingga 29 Ogos 2017.
sumber : Harian Metro