Kelebihan Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2017 untuk memilih kumpulan yang ingin disertai dalam acara bola sepak sukan SEA Ogos depan telah mendapat bantahan Vietnam dan Laos serta mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Indonesia.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Datuk Seri Azzuddin Ahmad yang berkata pihaknya sudah menerima surat rasmi bantahan berkenaan.
Beliau berkata, Vietnam dan Laos tidak berpuas hati apabila Malaysia mahu menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah untuk memilih kumpulan yang ingin disertai selepas undian yang bakal berlangsung 8 Julai ini.
Biasanya, juara bertahan dan pasukan tuan rumah diletakkan dalam kumpulan berasingan sebelum undian.
“Sebelum ini, kelebihan untuk pasukan tuan rumah adalah memilih kumpulan saja sama ada Kumpulan A atau B dan satu lagi pasukan adalah juara yang lalu iaitu Thailand.”
“Kalau ikut peraturan yang dikeluarkan OCM (Majlis Olimpik Malaysia atau komuniti Sukan SEA, Malaysia diberi pilihan untuk memilih mana-mana kumpulan yang mahu disertai. Itu yang menyebabkan bantahan dibuat oleh Vietnam dan Laos secara rasmi.
“Saya ingat ada perbincangan antara mereka (Vietnam dan Laos) oleh kerana nada isi kandungan surat itu hampir sama dan mempertikaikan kaedah yang ada sekarang tetapi saya difahamkan oleh (Setiausaha Agung FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, perkara ini akan dikaji semula sebelum hari undian pada 8 Julai nanti dan akan ada perubahan.
“Jadi, asas mereka membuat bantahan itu memang ada oleh kerana tidak pernah di mana pasukan tuan rumah Sukan SEA boleh memilih mana-mana kumpulan mereka mahu masuk. Itu agak luar biasa. Ini kerana apa yang dipraktikkan masa lampau sehingga Sukan SEA di Singapura adalah mengikut tatacara yang saya terangkan tadi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Shah Alam, semalam.
Azzuddin menjangkakan akan ada beberapa lagi negara yang mengikut langkah Vietnam dan Laos itu.
sumber: Harian Metro