Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh MStar petang tadi, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam menyifatkan dakwaan Tan Sri Annuar Musa berkenaan badan itu menggagalkan usaha Kelantan membawa masuk seorang lagi pemain import, Syedi L Imam hanya sekadar provokasi.
Kevin berkata, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak dibenarkan untuk membawa masuk Syedi L Imam bagi menggantikan Alessandro Padovani Celin yang kurang cergas ketika ini kerana mereka masih gagal melengkapkan proses pendaftaran Liga Malaysia 2017.
4 Dokumen Utama Gagal Dikemukakan
“Apa yang dikatakan oleh Tan Sri Annuar Musa itu tidak betul kerana sekatan itu dikuatkuasakan kerana kegagalan Kelantan melengkapkan pendaftaran pasukan. Kenyataan kami tidak berubah.”
Kelantan telah gagal mengemukakan atau memuat naik 4 dokumen utama iaitu deklarasi gaji, pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB).
Menurut Kevin lagi, FMLLP tidak mengenakan sebarang syarat tambahan baharu dalam isu pengambilan pemain ketika ini.
“Kelantan perlu melengkapkan proses pendaftaran pasukan terlebih dahulu dengan mengemukakan empat dokumen utama sebelum 11 Jun depan iaitu tarikh akhir jendela perpindahan pemain bagi membolehkan perpindahan Syedi L Imam disempurnakan.”
Amaran Tidak Diendahkan Sejak Januari
“Pada Januari kita telah beri amaran, seterusnya kita beri peringatan sehinggalah kita jatuhkan hukuman pemotongan mata pada 2 Mei lalu. Kalau tak sempat waktu itu buatlah sekarang, Kelantan masih ada masa lagi.”
“Kita cuma ingin menggalakkan (Kelantan) buatlah apa yang mereka sudah tahu perlu lakukan. Ini sudah jelas tapi tanpa menangani isu ini, tanpa buat apa yang sepatutnya, sekatan pemain tetap dikuatkuasakan,” katanya.
Kevin berkata Kelantan sepatutnya memandang serius peraturan yang ditetapkan FMLLP dan mengemukakan empat dokumen utama yang dikehendaki.
Tidak Ada Isu Jika Semua Dokumen Lengkap
“Jika mereka sudah kemukakan dokumen-dokumen itu, tidak timbul masalah dalam soal perpindahan pemain. Masalah ini berlaku kerana mereka masih belum melakukan apa yang dikehendaki FMLLP.
“Sudah berbulan-bulan, jadi kenapa ini dijadikan isu sedangkan mereka sudah lama tahu isu ini,” katanya.
Pada masa sama, Kevin turut menasihatkan Kelantan supaya menyelesaikan punca utama kepada masalah tersebut dengan segera dan berhenti memutar-belitkan perkara yang tidak benar.
“Buat apa yang sepatutnya perlu dibuat, jangan timbulkan isu-isu baharu yang akan merumitkan lagi keadaan. Jangan spin isu tak betul kerana mereka sudah jelas mengenai apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Kevin turut mempertikaikan tindakan Annuar yang lebih gemar ‘berbuat bising’ di laman media sosial daripada menyelesaikan masalah yang dihadapi pasukan.
“Kalau peraturan diambil serius, mereka tak akan bising. Namun mereka (Kelantan) mahu menggambarkan keadaan peraturan (FMLLP) adalah untuk menghukum dan mencacatkan pasukan Kelantan, ini semua tak benar.
“Peraturan yang sama wujud untuk semua pasukan. Kalau pasukan lain yang dikenakan pemotongan mata boleh buat (lengkapkan pendaftaran) kenapa Kelantan tak boleh,” soalnya.