Pemain pertahanan baru Kuala Lumpur dari Indonesia, Achmad Jufriyanto Tohir nampaknya semakin menarik perhatian penyokong Kuala Lumpur.
Terkenal dengan julukan Jupe ketika beraksi untuk Persib Bandung, pemain ini menunjukkan aksi cemerlang dalam dua perlawanan bersama Kuala Lumpur terutamanya ketika menentang juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’azim (JDT).
Pemain yang membuat 16 penampilan untuk skuad kebangsaan Indonesia ini mengakui bahawa dia masih sedang menyesuaikan diri dengan corak permainan di Liga Super Malaysia.
“Sudah pasti ada perbezaan corak permainan di Malaysia dan Indonesia,. Di Malaysia ianya mungkin temponya lebih perlahan berbanding di Indonesia, tetapi mempunyai kelebihan dari segi taktikal,” kata Jupe kepada Football Tribe Malaysia
Jupe yang menghadiri sesi futsal di antara penyokong Persib di Malaysia, Viking Malaysia dan penyokong Kuala Lumpur juga memuji ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao dan duo import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan Paulo Josue.
“Fabio seorang jurulatih yang cukup tegas dan mahukan yang terbaik daripada pemainnya. Dia memang seorang jurulatih yang bagus.
“Setakat ini, saya lihat kedua-duanya (De Paula dan Paulo Josue) pemain import yang cukup bagus. Mereka berdua mempunyai teknik yang cukup hebat.”
Jufriyanto memulakan kerjayanya bersama Persita Tangerang pada tahun 2005. Dia pernah merasa menjuarai Liga Super Indonesia bersama Sriwijaya FC (2011) dan Persib Bandung (2014).
Walaupun mempunyai beberapa rakan senegara yang turut berhijrah ke Malaysia, setakat ini Jufriyanto masih belum berpeluang bertemu mereka.
“Saya sudah berhubung dengan Evan (Dimas) dan Ilham Udin (Armaiyn), tetapi masih belum berkesempatan untuk bertemu mereka. Sementara Ferdinand (Sinaga) pula sedikit sukar untuk bertemu dengannya kerana dia berada di Kelantan.”
Selepas menampilkan aksi bertenaga ketika bertemu JDT, sudah pastinya pemain berusia 31 tahun mahu memberikan yang terbaik untuk skuad City Boys. Pengalamannya menjuarai Liga Indonesia pastinya mampu membantu Kuala Lumpur dalam misi mereka untuk memberikan saingan dalam aksi Liga Super.