Luar Negara

City atau United: 5 sebab kenapa Alexis Sanchez mungkin pilih Old Trafford

Kenapa pilih Manchester United?

Itu persoalan yang berada di minda ramai penyokong bolasepak semenjak laporan media di England mengatakan bahawa bintang Arsenal, Alexis Sanchez mungkin akan berhijrah ke Old Trafford pada bulan ini.

Selepas Arsenal tewas 1-2 di tangan Bournemouth malam semalam, Arsene Wenger mengesahkan bahawa pemain itu bakal meninggalkan Emirates dalam masa 48 jam. “Ia akan diputuskan dalam tempoh 48 jam akan datang. Ia agak sukar buatnya kerana dia sudah bersedia. Itulah sebabnya saya memutuskan untuk tidak menurunkannya. Dia tidak menolak untuk bermain,” kata Wenger.

Namun, perkara yang menarik perhatian ramai adalah berita yang mengaitkan Sanchez dengan perpindahan ke United, walaupun Pep Guardiola dan Manchester City jelas mahukan bintang Chile tersebut semenjak enam bulan lepas.

City hampir menandatangani Sanchez untuk 60 juta pounds pada bulan Ogos lalu dan selepas mereka gagal berbuat demikian, pihak pengurusan City mula berunding dengan ejen Sanchez untuk membawa masuk pemain itu pada bulan Januari. Beberapa hari lepas, laporan pelbagai media di Eropah mengatakan bahawa United sudah mula menunjukkan minat dan tidak lama selepas itu, mereka membuat tawaran kontrak dan menjadi calon pertama untuk Sanchez.

Tapi kenapa Sanchez mahu memilih United jika City jelas menawarkan peluang untuk memenangi trofi? Berikut adalah lima sebab kenapa Sanchez mungkin mahu berhijrah ke Old Trafford.

SUDAH LAMA MENGIDAM SARUNG JERSI UNITED

Pada tahun 2010, Alexis Sanchez pernah dikaitkan dengan Manchester United, selepas menunjukkan persembahan yang menarik bersama Chile di pentas Piala Dunia 2010. Sanchez, yang berusia 21 tahun ketika itu, pernah memberitahu rakan sepasukannya di Udinese bahawa dia memang mengidam untuk menyarung jersi United satu hari nanti. Namun, United tidak membuat sebarang tawaran dan Sanchez akhirnya berhijrah ke Barcelona pada tahun 2011.

PELUANG MENJADI TONGGAK UTAMA

Walaupun Sanchez berkebolehan menjadi pemain paling penting untuk Manchester City, namun hakikatnya adalah City mempunyai banyak lagi pemain yang mempunyai tahap kebolehan yang sama. Sekiranya Gabriel Jesus pulih dari kecederaan dalam masa terdekat, bahagian serangan City akan mempunyai Jesus, Sergio Aguero, Raheem Sterling dan Leroy Sane - empat pemain yang cukup hebat berdasarkan prestasi mereka musim ini. Di United pula, Martial, Rashford dan Lukaku masih tidak konsisten manakala Ibrahimovic sedang bergelut dengan masalah kecederaan. Malah, jika keempat-empat pemain tersebut cergas, Sanchez tetap akan menjadi pilihan pertama Jose Mourinho.

IDENTITI SANCHEZ DAN FALSAFAH PEP

Sesiapa yang mengikuti perkembangan karier Sanchez pasti tahu bahawa gaya permainannya lebih cenderung ke arah individualisme. Ketika dia berada di Barcelona, Guardiola sering tidak senang hati dengan persembahan Sanchez kerana ia tidak menepati falsafah peribadinya untuk kelab Catalan itu. Walaupun kedua-dua individu ini masih mempunyai hubungan yang baik sampai sekarang, Sanchez sudah tentu sedar bahawa dia perlu mengubah corak permainannya untuk menyesuaikan diri di Man City. Tetapi di United, Mourinho dijangka akan memberi kebebasan untuk Sanchez mengunakan kreativiti dan kesungguhannya di atas padang, kerana itu adalah aspek yang hilang daripada corak permainan United pada musim ini.

GAJI YANG LEBIH TINGGI

Walaupin kita selalu menggunakan nada yang negatif apabila membincangan nilai gaji seorang pemain bola sepak, hakikatnya adalah mereka mempunyai karier yang berjangka masa pendek. Sanchez kini berumur 29 tahun dan perlu mula bersedia untuk menghadapi persaraan dalam beberapa tahun akan datang. Tawaran United, iaitu lebih kurang 350,000 ribu pounds seminggu, memberi peluang kepada Sanchez untuk memaksimumkan baki empat atau lima tahun dalam kariernya, sebelum dia bersara daripada dunia bolasepak.

SEJARAH DAN PRESTIJ MANCHESTER UNITED

City menawarkan corak permainan yang baik, peluang cerah untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan juga visi jangka masa panjang yang bagus. Namun, Manchester United menawarkan platform yang berprestij, jersi yang bersejarah, stadium yang ikonik dan juga budaya bola sepak yang susah untuk ditandingi. Walaupun kebanyakkan pemain zaman moden tertarik dengan tawaran gaji yang tinggi atau peluang memenangi trofi, masih ada ramai pemain yang lebih mementingkan faktor sejarah dan prestij. Sanchez, yang dikatakan berminat dengan United sejak kecil lagi, mungkin melihat tawaran United daripada perspektif tersebut.