Luar Negara

Alexis Sanchez bakal menjadi pemain Man Utd dalam masa 48 jam?

Alexis Sanchez semakin hampir menjadi pemain Manchester United, menurut pelbagai laporan media-media di Eropah sepanjang malam semalam.

Pemain Chile itu tidak berada di dalam skuad Arsenal yang tewas 1-2 di tangan Bournemouth malam semalam, dan ketua jurulatih Arsenal, Arsene Wenger sendiri mendedahkan bahawa masa depan Sanchez akan ditentukan dalam masa 48 jam.

“Alexis mahu bermain. Tapi ia tempoh sukar buatnya. Dia sering kali komited hingga kini tapi dia mungkin boleh berpindah semalam, hari ini atau tidak berpindah terus,” ujar Wenger.

“Ia akan diputuskan dalam tempoh 48 jam akan datang. Ia agak sukar buatnya kerana dia sudah bersedia. Itulah sebabnya saya memutuskan untuk tidak menurunkannya. Dia tidak menolak untuk bermain.”

Walaupun dikaitkan dengan Manchester City semenjak enam bulan lepas, Manchester United sekarang tampil sebagai destinasi seterusnya untuk Sanchez. Menurut Sky Italia, United dikatakan bersedia membayar 30 juta pounds kepada Arsenal – 10 juta lebih daripada jumlah yang City tawarkan kepada kelab London itu.

Malah, United turut membuat tawaran gaji sebanyak 350,000 ribu pounds seminggu dan tawaran tersebut dikatakan telah menarik perhatian Sanchez dan juga ejennya.

Selain itu, United juga mahu menggunakan Henrikh Mkhitaryan sebagai umpan untuk mendapatkan Sanchez. Arsenal jelas berminat dengan Mkhitaryan, tetapi mereka juga bersedia untuk menerima tawaran 30 juta pounds tanpa sebarang pertukaran pemain.

Sekiranya Sanchez berpindah, Arsenal dikatakan akan membawa masuk bintang muda Bordeaux, Malcom. Ejen pemain itu dilaporkan sudah mula berbincang dengan pihak pengurusan Arsenal, walaupun Wenger enggan mengesahkan berita tersebut.

“Jika pemain seperti Sanchez pergi, sudah tentu kami perlu memberikan respons. Adakah dia akan pergi atau tidak, saya tidak tahu, tapi ketika ini, ia jendela perpindahan dan dalam tempoh sebegini, anda cuba menggunakan pemain yang benar-benar fokus untuk berada di kelab,” tambah pengurus Arsenal itu.