Khairy Jamaluddin secara rasminya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Johor Darul Ta’zim berkuat kuasa serta-merta.
Ini bermakna, Khairy kembali terlibat dalam bola sepak tempatan selepas kali terakhir aktif ketika beliau berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2018.
“Saya telah bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim,” kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui akaun media sosialnya.
“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor.”
Sosial media rasmi JDT iaitu Johor Southern Tigers turut mengalu-alukan penyertaan Khairy.
“JDT ingin mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Khairy Jamaluddin atas perlantikan beliau sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah JDT.
“JDT turut mengucapkan tahniah kepada Khairy atas perlantikan beliau sebagai Penasihat Belia Johor. Luaskan Kuasamu Johor.”