Liga Super Malaysia Berita

Kelantan FC catat keuntungan, kurang dua tahun selepas Norizam Tukiman jadi pemilik

Kelantan FC catat sejarah apabila merekodkan keuntungan, kurang dua tahun selepas Norizam Tukiman mengambil alih pasukan dari Pantai Timur itu.

Norizam, 41, melengkapkan pengambilalihan pasukan Kelantan pada Sept 2020 apabila membeli saham bernilai RM3 juta, sekali gus menjadi pemegang saham terbesar The Red Warrior.

Sejak itu, Norizam membina semula pasukan Kelantan dari bawah, bermula dengan melangsaikan segala hutang dan tunggakan gaji pemain.

Kemudian, beliau menstruktur semula pengurusan pasukan, menguruskan bajet tanpa berbelanja berlebihan dan membayar gaji pemain dengan jumlah berpatutan.

“Bulan ini sejarah selama saya ambik pasukan bola,” kata Norizam dalam akaun Facebook miliknya.

“Kenapa? Sebab jualan tiket dan penajaan dah lepas kos operasi pasukan.

“Insya-Allah, bulan pertama (bulan ini) kita untung.”

Malah, Norizam sebelum ini menjangkakan Kelantan akan mencatatkan keuntungan lebih besar apabila akan menyertai 18 pasukan yang akan bertanding dalam Liga Super musim depan.

“Saya menyasarkan Kelantan mampu menjana pendapatan RM8 hingga RM10 juta setahun dan bakal menjana keuntungan.

“Penajaan juga dijangka akan berebut-rebut nak taja kerana perlawanan ada 34 kali dengan paparan jenama akan lebih dekat.

“Yang penting hasil perniagaan akan dimasukkan semula ke pasukan, seterusnya kelab akan kuat atau setidaknya mampu bersaing di Liga Super.

“Kita tadbir betul-betul, doakan pasukan dijauhkan parasit pengurusan, bayar gaji mengikut kesesuaian dan kemampuan.

“Insya-Allah, Kelantan boleh berjaya sebagaimana Bali United yang berjaya selepas 5 tahun diambil alih oleh Peter Hainuri.”