Liga Super Malaysia Berita

Kipre Tchetche wira Kedah, Amri Yahyah hantui Selangor

Perlawanan ke-10 saingan Liga Super hari Jumaat cukup dramatik apabila Kedah meraih kemenangan saat-saat akhir untuk menewaskan KL City 3-2 di Stadium Darul Aman.

KL City mendahului menerusi Paulo Josue hasil tendangannya pada minit ke-50, namun Kedah menyamakan kedudukan 20 minit kemudian menerusi Fayadh Zulkifli yang menyempurnakan hantaran Kipre Tcetche.

Bagaimanapun, KL City sekali lagi mengejutkan tuan rumah dengan gol kedua hasil tandukan Giancarlo Galifuoco dari sepakan penjuru.

Kedah nampak seperti akan tewas dalam perlawanan ini apabila gagal menjaringkan sebarang gol sehinggalah minit ke-90.

Namun, segala-galanya berubah apabila Kedah dihadiahkan sepakan penalti apabila Galifuoco menolak Rozaimi Abdul Rahman dalam kotak penalti.

Kipre Tcetche mudah menyempurnakan penalti dan menyamakan kedudukan buat Kedah tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Kedua-dua pasukan terus membuat serangan bertali arus, namun akhirnya Tchetche sekali lagi menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan, seminit sebelum pengadil menamatkan perlawanan.

Keputusan itu meletakkan Kedah kembali di tangga kedua liga dengan mengumpul 20 mata selepas 10 perlawanan.

KL City pula di tangga ke-6 dengan 12 mata.

Dalam satu lagi perlawanan, hasrat Selangor untuk mencatatkan ketiga berturut-turut tidak kesampaian apabila terikat dengan Sabah 2-2 di Stadium Petaling Jaya.

Malah, Selangor dihantui dengan kehadiran bekas pemain dan legenda pasukan, Amri Yahyah sehingga berjaya menjaringkan gol pendahuluan hasil gerakan individu pada minit ke-31.

 

Bagaimanapun, Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-57 hasil hantaran Nor Hakim Hassan yang disudahkan oleh Ifedayo Olusegun.

 

Selangor mendahului pada minit ke-72 apabila Ifedayo sekali lagi menyudahkan hantaran yang dilakukan Hakim.

Namun, Sabah memusnahkan kegembiraan peminat Selangor apabila Bobby Gonzales menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-88, dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Selangor kini di tangga ke-5 dengan 15 mata manakala Sabah di tangga ke-8 dengan 10 mata.