Jorge Pereyra Diaz membuat keputusan untuk menyertai kelab Argentina, Club Atletico Platense, sekali lagi gus menolak tawaran dari pasukan Liga Super, Sabah.
Bekas pemain JDT itu dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan pasukan dari Borneo itu bagi membantu menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.
Namun, persetujuan itu nampaknya tidak menjadi kenyataan apabila Diaz diperkenalkan sebagai pemain baharu Platense, kelab yang beraksi dalam saingan Liga Primera, liga paling berprestij di Argentina.
Ini kali ketiga Diaz kembali ke Argentina, selepas melakukannya pada 2015 apabila menyertai Indepediente dari JDT secara pinjaman dan pada Julai 2018 apabila beliau menyertai Lanus setelah kontraknya dengan JDT berakhir.
[Fútbol] ⚽ ¡Llegó el segundo!
El delantero Jorge Pereyra Díaz es nuevo refuerzo de #Platense de cara a la #CopaDeLaLiga 😀👍🏼
¡Bienvenido, Jorge! 🤝
¡#VamosCalamares🦑! pic.twitter.com/pNGFHGnERL
— Club Atlético Platense (@caplatense) February 11, 2021
Diaz pertama kali datang ke Malaysia ketika di pertengahan musim 2014 dan menjadi salah seorang pemain utama yang membantu JDT memenangi Liga Super buat pertama kali dalam sejarah.
Beliau bagaimanapun dipinjamkan ke kelab Argentina, Independiente pada 2015 sebelum kembali menjadi watak penting apabila membantu JDT memenangi Liga Super musim 2016 serta memenangi Kasut Emas apabila menjaringkan 18 gol.
Namun, Diaz sekali lagi dipinjamkan pada musim 2017 apabila beliau beraksi di kelab Mexico, Leon.
Apabila beliau kembali ke JDT pada 2018, Diaz tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan beliau akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Malaysia.
Selepas beberapa bulan tanpa kelab, Diaz menyertai kelab Argentina, Lanus pada musim panas 2018 sebelum berhijrah ke Bolivia dengan menyertai kelab Bolivar pada Januari 2019.
Beliau beraksi di Bolivar sehingga Ogos 2020 apabila berhijrah pula ke Chile dengan menyertai kelab CD San Marcos de Arica dan kekal beraksi dengan pasukan itu sehinggalah beliau menyertai Platense bulan ini.