Badhri Radzi dan Fitri Omar disahkan menyertai Kelantan United bagi saingan Liga Premier musim 2021.
Ini bermakna, Piya yang sudah berusia 38 tahun kembali menyertai Kelantan United selepas setahun tidak beraksi.
Fitri yang kini berusia 35 tahun sebelum ini beraksi dengan PJ City dan kembali ke Kelantan selepas kali terakhir mewakili Kelantan FA pada 2015.
Presiden Kelantan United, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kemasukan pemain berpengalaman itu akan mengimbangkan pasukannya yang turut dibarisi oleh pemain muda.
“Pemain muda dan pemain yang agak veteran seperti Mohd Badhri Mohd Radzi dan Mohd Fitri Omar, dibawa masuk menyertai pasukan untuk memberikan keseimbangan kepada pemain muda yang purata umur bawah 26 tahun,” katanya kepada Bernama.
Kelantan United berada di kedudukan tangga ke-8 saingan Liga Premier dan melayakkan diri dalam saingan Piala Malaysia namun tewas pada pusingan pertama.
Untuk barisan pemain import, Gassama Alfusainey dari Gambia dikekalkan dan disertai pemain Jepun, Yuki Tanigawa yang sebelum ini beraksi dengan Kuching.
Che Abdullah bagaimanapun mendedahkan dua pemain import baharu lagi dari Jepun.
“Kita masih mempunyai dua kekosongan untuk pemain, namun kita telah mempunyai calon dan mereka ini dari Jepun yang mana akan tiba di Kelantan pada bulan depan.”