Piala Malaysia Berita

Piala Malaysia: JDT enggan pandang rendah terhadap Kuching

Jurulatih JDT, Benjamin Mora enggan memandang rendah kemampuan Kuching FA walaupun dijangkakan menang mudah apabila bertemu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Beliau menganggap Kuching tetap mempunyai peluang untuk mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

“Setiap perlawanan yang kami harungi sentiasa sukar,” katanya kepada Harian Metro.

“Tidak kira pasukan itu kuat atau tidak, kami tetap akan berwaspada dan memberi persembahan terbaik untuk capai kemenangan.”

Buat pertama kalinya, JDT akan bertanding dalam saingan Piala Malaysia tanpa kelibat Safawi Rasid yang kini beraksi dengan kelab Portugal, Portimonense.

JDT juga berdepan cabaran lebih besar berbanding pasukan lain Liga Malaysia apabila terpaksa membahagikan dua pasukan, satu pasukan beraksi Piala Malaysia dan satu lagi akan bersaing dalam AFC Champions League.

Skuad JDT akan berangkat ke Qatar pada 14 November ini bagi menyambung saingan ACL bermula 18 November hingga 13 Disember ini.