Liga Super Malaysia Berita

Kalau tak serius dengan proses FA ke FC? Ini pandangan presiden FAM

Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin memberi amaran kepada semua pasukan Liga Malaysia bahawa pihaknya tidak akan memberikan lagi sebarang kelonggaran berhubung proses penswastaan kelab seperti sebelum ini.

Ini selepas ramai yang menyuarakan keraguan sama ada proses penswastaan kelab itu benar-benar dilaksanakan oleh semua pasukan, berdasarkan pengalaman lalu.

Namun, Hamidin memberikan satu mesej yang cukup jelas.

“Mana-mana yang tidak serius nak buat FA ke FC atau cuba melambat-lambatkan proses itu, kita akan singkirkan mengikut peraturan yang ada,” katanya kepada Harian Metro.

“Bukan setakat singkir, pasukan juga boleh tidak dibenarkan beraksi lagi.

“Untuk tahun depan mana-mana pasukan dalam Liga Super atau Liga Perdana tidak memenuhi kriteria FA ke FC, kriteria pelesenan kelab dan juga masalah gaji tertunggak, kita akan buat tindakan tegas dan tak boleh ada lagi tempoh lanjutan.”

Hamidin juga menegaskan tindakan penyingkiran boleh dibuat mengikut peraturan AFC dan FIFA.

“MFL dan FAM serius perkara ini. Mana-mana yang tidak serius akan disingkirkan. Tindakan penyingkiran ada dalam peraturan.

“Contohnya, pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang gagal memenuhi kriteria pelesenan boleh disingkirkan ke liga amatur atau Liga M3.

“Tengok kepada kesalahan pasukan itu nanti. Kalau isu gaji dan sebagainya mungkin mereka tak boleh bermain buat sementara.”

Malah, Hamidin tidak kisah jika Liga Malaysia terpaksa diteruskan dengan bilangan pasukan yang lebih kecil pada musim akan datang.

“Kalau tahun depan terpaksa kurang 10 pasukan pun tak apa. Kalau Liga Super 10 pasukan dan Liga Perdana 10 pasukan, kita tetap jalan sebab kita nak betul-betul pasukan yang sihat.

“Pasukan yang tak sihat ini boleh rehat dulu dan perbaiki dulu dari segi kewangan dan sebagainya.”