Terengganu mengejutkan ramai pihak apabila menyasarkan ketiga-tiga piala utama yang dipertandingkan pada musim 2020.
Mereka bukanlah pasukan pilihan untuk memenangi sebarang piala, memandangkan kali terakhir Terengganu meraih kejayaan adalah Piala FA pada 2011.
Namun Presiden Persatuan Bolasepak Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan keyakinan luar biasa itu bukan sekadar cakap kosong, sebaliknya percaya pasukannya mampu melakukan kejutan pada musim ini.
“Sasaran kita pada tahun ini sudah pasti mahukan lebih baik berbanding musim lalu,” katanya kepada Berita Harian.
“Kita sasarkan kejuaraan semua piala yang dipertandingkan kerana bagi kami tidak salah untuk meletakkan sasaran lebih tinggi.
“Lagipun dengan persediaan yang rapi termasuk barisan kejurulatihan diketuai Nafuzi Zain yang pernah membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia pada 2001, sudah pasti mampu membawa cabaran kepada pasukan, ini ditambah dengan barisan pemain yang ada, sasaran itu adalah realistik.
PBSNT turut mendedahkan bahawa mereka berjaya melakukan penjimatan daripada kos perbelanjaan pada musim ini, dengan mengambil lebih ramai pemain kelahiran negeri itu.
Walaupun tidak mendedahkan jumlah bajet musim 2020, sebanyak 80 peratus pemain adalah anak jati Terengganu.
Terengganu turut mengumumkan jersi baharu musim 2020, dengan menampilkan warna jersi biru sebagai tarikan utama buat peminat musim ini.
“Jersi hitam putih adalah warna tradisi pasukan yang menjadi kebanggaan peminat setia pasukan, bagi jersi di gelanggang lawan, TFC membuat perubahan dengan warna biru gelap bagi memberi kesegaran dan mengharapkan perubahan positif kepada pasukan manakala warna kelabu menjadi jersi ketiga pasukan.”
Terengganu akan memulakan aksi Liga Super di Stadium Sultan Zainal Abidin manakala Terengganu FC II akan bermain di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.