Legenda bolasepak Indonesia, Bambang Pamungkas akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan kariernya sebagai pemain bolasepak profesional di usia 39 tahun.
Beliau mengumumkannya di hadapan ribuan penyokong Persija Jakarta, kelab profesional pertama dalam kariernya.
Bambang mula dikenali ramai apabila beliau menjadi penjaring terbanyak iaitu 8 gol pada Piala AFF 2002, malah menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Malaysia untuk mara ke final.
"Izinkan saya menjadi laki-laki sejati, tidak banyak bicara, cukup hati saya yang berdarah." -Bambang Pamungkas (@bepe20), Gelora Bung Karno, 2019. #LagaPamungkas#bepe20#PersijaDay pic.twitter.com/RHA2EjLpkW
— Indosiar (@Indosiar) December 17, 2019
Anak kelahiran Semarang itu kemudian membuat keputusan untuk berhijrah dari Persija ke Selangor bersama rakan senegaranya Elie Aiboy dan hasilnya sangat mengagumkan.
Beliau menjaringkan 23 gol dalam Liga Perdana 63 gol dalam semua pertandingan termasuk Piala AFC.
Pada masa sama, beliau juga memenangi treble bersama Selangor, meraih Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.
Beliau juga sebahagian daripada pasukan Indonesia yang meraih naib juara pada Piala AFF 2000, 2002 dan 2010.
Selepas kembali ke Persija pada 2007, Bambang menghabiskan kariernya di Indonesia.
Beliau pernah berhijrah ke Pelita Bandung Raya untuk semusim pada 2013 sebelum kembali sekali lagi ke Persija.
Keseluruhannya, Bambang sudah beraksi lebih 500 kali baik di peringkat kelab mahupun negara dan menjaringkan lebih 200 gol.
Bambang akan sentiasa diingati sebagai antara penyerang paling berbisa dan jasanya kepada bolasepak akan diingati sampai bila-bila.