Malaysia Berita

Cabaran getir buat Tan Cheng Hoe

Jadual Liga Super bermula 28 Februari, manakala Malaysia berdepan perlawanan penting menentang UAE pada 26 Mac dan Vietnam pada 31 Mac.

Ini bermakna Tan Cheng Hoe hanya mempunyai kurang sebulan untuk menilai pemain di saingan liga.

Dalam tempoh tersebut, liga mungkin hanya baru beraksi dalam tiga ke empat perlawanan.

Tan Cheng Hoe pula memerlukan sekurang-kurangnya 10 hari untuk menjalani kem latihan pusat, namun beliau tidak terlalu bimbang dengan keadaan tersebut.

“Kami di bahagian pengurusan FAM dan MFL memang selalu berbincang mengenai jadual pasukan baik untuk saingan Liga Malaysia dan skuad kebangsaan.

“Dalam masa sama, saya mendapat maklum balas yang baik daripada MFL dan kami pun sama-sama bersetuju dengan keputusan tersebut,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan MFL.

Cheng Hoe mengharapkan pemainnya bijak selaraskan masa dan menyesuaikan diri dengan cepat sama ada beraksi bersama pasukan atau skuad negara.

“Saya sebagai jurulatih sentiasa positif bahawa prestasi pemain-pemain akan terus konsisten sebaik sahaja liga bermula dan saya juga tidak mahu mereka berasa terlalu padat dengan jadual kemudian cepat penat di kemudian hari.”