Pemain muda berbakat, Eddie Nketiah semakin mengorak langkah walaupun dipinjamkan ke Leeds United pada musim ini. Pemain akademi Arsenal ini menampilkan persembahan meyakinkan bersama Leeds setakat ini dengan lima jaringan daripada 11 penampilan.
Nketiah juga menunjukkan peningkatan dalam permainannya ketika beraksi bersama Arsenal pada perlawanan jelajah pra-musim yang lalu dengan menyumbang tiga gol daripada lima perlawanan.
Meskipun tidak berada dalam kesebelasan utama Leeds, Nketiah tetap memanfaatkan minit diatas padang dengan impak yang positif. Khidmat Nketiah juga ditagih bagi skuad B-21 England dan setakat ini dia telah menghadiahkan lima gol pada pusingan Kelayakan Euro B-21.
Pemain berusia 20 tahun ini sentiasa membalas kepercayaan yang diberi tidak kira mana pasukan yang diwakilinya. Semangat ini yang perlu ada pada setiap pemain muda Arsenal.
Hasratnya untuk menyarung jersi skuad utama Arsenal seperti Joe Willock dan Bukayo Saka tidak kesampaian apabila dipinjamkan ke Leeds United pada penghujung waktu jendela perpindahan pemain yang lepas.
Disaat The Gunners menghadapi kesukaran dalam barisan serangan, para peminat Arsenal sudah mula menyebut nama Nketiah untuk turut berganding bersama Pierre Emerick Aubameyang. Walaupun perkara ini dilihat mustahil, para peminat Arsenal perlu sedar akan realiti bahawa Nketiah pasti akan menjadi penyerang utama satu hari nanti.
Krisis yang dihadapi oleh skuad Unai Emery ini juga bakal mengambil masa untuk dipulihkan.