Malam yang cemerlang buat Liverpool apabila berjaya menewaskan Tottenham pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid. Malam ini bertambah cemerlang buat Jurgen Klopp apabila berjaya mengeluarkan diri dari badi aksi final. Secara keseluruhan, Klopp memegang rekod enam kekalahan pada aksi final.
Linangan air mata tanda kegembiraan daripada para penyokong Liverpool jelas terpancar setelah terpaksa menunggu lama untuk menjulang Liga Juara-Juara setelah dinafikan oleh Real Madrid musim lalu. Kali terakhir Liverpool mengangkat kejuaraan Eropah adalah pada 2005, pentas akhir yang terkenal dengam aksi dramatik ketika menewaskan AC Milan.
Gol Mohamed Salah pada minit ke dua perlawanan selepas bola hantaran Mane terkena tangan Sissoko yang menghadiahkan sepakan penalti buat Liverpool. Salah tampil selaku penjaring pertama apabila berjaya menyempurnakan penalti yang menggegar gawang disebelah kiri. Divock Origi melengkapkan kemenangan Liverpool apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-87.
Kemenangan ini mengubat duka penyokong Liverpool apabila gagal menjulang Liga Perdana Inggeris setelah dinafikan oleh Manchester City. Kemenangan ini juga mengubat kesabaran penyokong Liverpool setelah menunggu lama hasil yang dituai oleh Jurgen Klopp. Apa yang lebih jelas, kemenangan ini membuktikan bahawa Liverpool sudah bangkit dari lena yang panjang.
Para pemain Liverpool boleh menari gembira apabila sakit yang mereka tanggung musim lalu setelah tewas dengan Real Madrid di Kiev lunas terbayar. Terutamanya Mohamed Salah yang hanya sempat bermain beberapa minit pada final musim lalu akibat kecederaan yang dialami oleh beliau.
Bagi skuad Tottenham Hotspurs, kekalahan ini semestinya menyakitkan setelah beberapa kali nasib berpihak kepada mereka – dari peringkat kumpulan sehinggalah malam di Amsterdam. Tetapi ia bukanlah pengakhiran buat anak buah Mauricio Pochettino, tambahan pula ini adalah debut pertama mereka di pentas akhir Liga Juara-Juara dan yang pastinya bukan aksi terakhir. Mereka akan kembali.